ARLINGTON: Mohamed Salah mengakui dia hanya membuat keputusan pada saat akhir untuk melakukan sepakan penalti gaya Panenka ketika membantu Mesir menyingkirkan Australia 4-2 menerusi penentuan penalti sekali gus melakar sejarah mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia buat kali pertama.
Kapten Mesir itu yang masih dibelenggu kecederaan hamstring tetap beraksi selama 120 minit sebelum tenang menyempurnakan sepakan penalti ketiga selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Stadium Dallas.
“Kalau ada seseorang yang perlu melakukannya, biarlah saya kerana saya lebih berpengalaman daripada pemain lain dan saya mahu memberikan mereka keyakinan.
“Saya membuat keputusan itu pada saat akhir kerana saya tahu saya perlu memikul tanggungjawab tersebut,” kata Salah.
Bekas penyerang Liverpool itu menyifatkan kejayaan bersejarah tersebut sebagai detik paling bermakna buat Mesir yang akhirnya berjaya memecahkan badi di pentas Piala Dunia.
“Saya sentiasa cuba menikmati setiap detik kerana peluang seperti ini tidak akan kembali lagi.
“Saya selalu beritahu rakan sepasukan supaya menikmati setiap saat kerana inilah sejarah yang kami cipta dan malam ini kami akan meraikannya bersama-sama,” ujarnya.
Mesir yang buat pertama kali melepasi saingan kalah mati bakal berdepan juara bertahan, Argentina dalam aksi pusingan 16 terbaik selepas Lionel Messi dan rakan sepasukan menewaskan Cape Verde 3-2 menerusi masa tambahan. – AGENSI










