KUALA NERUS: Cuaca panas di seluruh negara sejak kebelakangan ini berpunca daripada pengaruh fasa kering Ayunan Madden-Julian (MJO) yang mengurangkan pembentukan awan hujan, sekali gus menyebabkan suhu meningkat lebih tinggi daripada kebiasaan.
Pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chung Jing Xiang berkata, ketika ini Malaysia berada di hujung Monsun Timur Laut yang sememangnya membawa corak cuaca lebih panas dan kering namun keadaan itu menjadi lebih ketara akibat fasa kering MJO.
Katanya, MJO adalah fenomena pergerakan kawasan tumpuan awan hujan dari Lautan Hindi ke Lautan Pasifik.
“Apabila kawasan tumpuan awan ini berada di ruang atmosfera Malaysia, pembentukan awan hujan berlaku seterusnya menghasilkan hujan. Namun, apabila kedudukan tumpuan awan beralih ke kawasan lain seperti Lautan Pasifik, pembentukan awan di rantau ini terbantut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, ketika ini titik tumpuan awan berada di sekitar Lautan Pasifik menyebabkan Malaysia mengalami fasa kering MJO, sekali gus mengurangkan potensi hujan.
“Keadaan ini menyebabkan sinaran matahari terus sampai ke permukaan bumi tanpa halangan awan yang meningkatkan suhu persekitaran. Pada masa sama, ketiadaan hujan turut mengurangkan kesan penyejukan semula jadi, menyebabkan cuaca menjadi lebih panas daripada biasa,” jelasnya.

Menurut Jing Xiang, keadaan fasa kering MJO dijangka berterusan sehingga bulan depan.
Bagaimanapun, katanya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara memasuki fasa peralihan monsun dalam tempoh terdekat.
“Ketika musim peralihan monsun, keadaan atmosfera lebih cenderung membentuk ribut petir yang boleh membawa hujan.
“Justeru itu, cuaca panas yang dialami ketika ini dijangka beransur pulih apabila memasuki fasa tersebut,” katanya.
Beliau berkata, suhu maksimum dijangka boleh mencecah antara 37 hingga 38 darjah Celsius, khususnya di kawasan utara Semenanjung Malaysia seperti yang pernah dimaklumkan MetMalaysia.
“Namun sekiranya keadaan menjadi lebih ekstrem, suhu berpotensi meningkat melebihi 40 darjah Celsius,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar dalam tempoh cuaca panas terik. – UTUSAN










