BALIK PULAU: Kebiasaannya dodol sinonim dengan rasa gula Melaka, namun, inovasi menggunakan buah nanas sebagai bahan utama kini mencipta kelainan apabila seorang usahawan tempatan menghasilkan dodol nanas yang semakin mendapat perhatian pelanggan.
Pengusaha dodol Tok Bri, Nur Aimi Razak, 34, berkata, idea menghasilkan dodol nanas itu tercetus selepas beliau mengikuti kursus pembuatan dodol nanas anjuran Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia kira-kira setahun lalu.
Menurutnya, pada peringkat awal, dodol nanas tersebut hanya dihasilkan secara kecil-kecilan untuk tujuan percubaan sebelum dikomersialkan.
“Sekitar Februari tahun lalu, kami mula menghasilkan dodol nanas ini. Pada mulanya sekadar percubaan, tetapi selepas nampak potensi dan sudah mendapat rentak penghasilan, barulah kami menjualnya secara komersial,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Beliau berkata, ketika ini, sambutan terhadap dodol nanas itu agak menggalakkan kerana ramai pelanggan ingin mencuba rasa unik produk tersebut.
“Ramai yang bertanya bagaimana rasanya dodol nanas ini. Mereka rasa pelik kerana biasanya dodol menggunakan gula Melaka sahaja. Tetapi bila cuba, mereka kata rasanya unik. Dodol tersebut mempunyai gabungan rasa manis dan sedikit masam daripada nanas yang memberikan kelainan berbanding dodol tradisional,” katanya.
Nur Aimi berkata, proses menghasilkan dodol nanas juga lebih mencabar berbanding dodol biasa.
“Untuk menghasilkan dodol nanas, proses memasaknya mengambil masa antara 10 hingga 12 jam kerana api tidak boleh terlalu kuat. Jika api terlalu kuat, nanas akan mengalami proses karamel dan warna dodol menjadi terlalu gelap,” jelasnya.
Katanya, sehingga kini kira-kira 300 kilogram dodol nanas telah dihasilkan bagi memenuhi permintaan pelanggan, terutama menjelang musim perayaan.
“Setiap kali pengeluaran kami menghasilkan kira-kira 60 kilogram (kg) dodol dan setakat ini sudah lima kali pengeluaran dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, dodol nanas dijual pada harga bermula RM30 bagi setiap setengah kg kerana ia menggunakan nanas varieti MD2 yang terkenal dengan rasa manis. – UTUSAN










