KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa terdapat penglibatan pihak Zionis dalam komplot untuk menjatuhkan kerajaan yang dikaitkan dengan isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid adalah dianggap sebagai tidak berasas dan merupakan sekadar cerita fantasi.
Menurut peguam Na’imah, Nizamuddin Hamid, segala dakwaan yang mengaitkan anak guamnya itu dengan perkaratersebut juga langsung tidak mempunyai kaitan dengan laporan diterbitkan oleh Bloomberg yang menjadi isu dalam siasatan berkenaan.
Menurut beliau, dakwaan itu dilihat cuba mengaitkan perkara tidak relevan dengan laporan media antarabangsa berkenaan sehingga menimbulkan salah faham terhadap kedudukan sebenar anak guamnya.
“Segala dakwaan yang cuba mengaitkan Toh Puan Na’imah dengan komplot menjatuhkan kerajaan termasuk kononnya membabitkan Zionis adalah tidak benar sama sekali.
“Malah perkara tersebut langsung tidak disebut atau dikaitkan dalam laporan Bloomberg yang menjadi asas kepada siasatan yang sedang berjalan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bukit Aman di sini semalam.
Terdahulu, Nizamuddin hadir memberikan keterangan hampir tiga jam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan komplot menjatuhkan kerajaan.
Menurutnya, sepanjang sesi rakaman percakapan itu, pihak polis mengemukakan kira kira 90 soalan.
“Saya tidak mahu mengulas secara terperinci mengenai siasatan kerana ia masih dalam siasatan polis,” katanya.
Tambahnya, tiada sebarang telefon atau peranti lain dirampas oleh pihak polis sepanjang proses rakaman percakapan itu.
Sementara itu, peguam Zaid Malek berkata, beliau bersama seorang lagi peguam, Azad Akbar Khan hadir mewakili dua individu yang turut dipanggil memberi keterangan dalam siasatan sama.
Menurutnya, kedua-dua individu berkenaan disenaraikan antara 14 nama dalam satu emel yang didakwa diserahkan kepada polis oleh pengadu berkaitan dakwaan komplot menggulingkan kerajaan.
“Namun kedua-dua mereka hanyalah penganalisis dan pengkritik politik jadi kami tidak nampak bagaimana mereka boleh dikaitkan dengan sebarang komplot untuk menggulingkan kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya berpandangan, tindakan memanggil dan menyiasat dua anak guamnya menimbulkan persepsi wujud cubaan intimidasi terhadap individu yang sekadar bertindak sebagai penganalisis dan pengkritik politik.
Pada 27 Februari lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, satu laporan diterima pihaknya berkenaan isu terbabit dengan dakwaan melibatkan seorang individu tempatan berpengaruh dengan agensi media antarabangsa.
Beliau dilaporkan berkata, siasatan perkara itu dijalankan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan.-UTUSAN.










