Cucu terlibat nahas meninggal dunia dalam pelukan datuk saudara

Cucu terlibat nahas meninggal dunia dalam pelukan datuk saudara

MOHD. Redzuan Abdullah (dua dari kanan) mengusung salah satu jenazah anaknya yang maut dalam kemalangan di Kilometer 59 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Felda Jerangau, Dungun petang semalam di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki tidak menyangka pelukan terakhir terhadap cucu saudaranya menjadi detik perpisahan apabila kanak-kanak itu menghembuskan nafas terakhir di pangkuannya selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 59 Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran Felda Jerangau, Du­ngun, dekat sini, semalam.

Nur Radya Athalia Mohamad Redzuan, 4, disahkan meninggal dunia ketika menerima ra­watan di Klinik Kesihatan Jera­ngau akibat kecederaan parah.

Dalam kejadian kira-kira pu­kul 6.10 petang itu, ibu kanak-kanak berkenaan, Nurul Hafizah Shaary, 39, serta abangnya, Mohamad Redzuan Arash, 13, turut me­ninggal dunia selepas kenderaan mereka terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh sebatang paip air besar di tepi jalan.

Tiga beranak berkenaan bersama dua lagi ahli keluarga mereka dikatakan dalam perja­lanan pulang ke Ajil, Hulu Te­rengganu selepas menghadiri per­kahwinan di Kampung Sura Tengah.

Dua lagi anak Nurul Hafizah iaitu Nur Raesha Amanda, 14, cedera di bahagian kepala manakala seorang lagi anaknya, Nur Rakhis Aral, 9, cedera di ta­ngan kanan dan menerima rawatan di Hospital Dungun. Keadaan mereka dilaporkan stabil.

Datuk saudara Nur Radya Athalia, Mohd. Tarmizi Said, 42, berkata, dia bergegas ke lokasi kejadian sejurus selepas mene­rima panggilan mengenai kemalangan yang menimpa keluarga itu.

“Saya sempat memeluk ar­wah sebelum dia disahkan me­­ninggal dunia. Saya tidak sang­ka itu adalah detik terakhir ka­mi bersama,” katanya ketika di­temui di Jabatan Perubatan Fo­rensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini semalam.

Menurut Mohd Tarmizi, Allahyarham Nurul Hafizah adalah anak saudara sulungnya yang sangat disayangi keluarga.

“Arwah adalah anak sauda­ra kesayangan kami semua ke­rana dia anak buah sulung dan sangat baik malah menjadi penghubung dalam keluarga di Terengganu,” katanya.

Ujarnya, kali terakhir mereka berkumpul adalah sempena majlis perkahwinan adik bongsu Allahyarham Nurul Hafizah di Dungun, semalam.

Menurutnya, walaupun jarang dapat berkumpul kerana masing-masing bekerja di luar Terengganu, hubungan kekeluargaan tetap erat melalui aplikasi WhatsApp.

“Saya sangat rapat dengan arwah. Ketika kenduri, dia an­tara yang paling sibuk mengu­ruskan persiapan termasuk mem­bungkus cenderahati. Ma­­lam sebelum kenduri, kami sem­pat meraikan hari jadi Nur Radya Athalia yang kebetulan sama tarikh lahir dengan saya,” katanya.

Mohd. Tarmizi berkata, arwah yang juga anak sulung daripada empat beradik itu dikenali sebagai seorang yang ceria, rajin dan sering menjadi ‘ketua’ dalam setiap aktiviti keluarga.

“Arwah memang suka bergurau dan sangat ringan tulang. Kehilangannya amat dirasai seluruh keluarga,” katanya.

Menurutnya, tiada perubahan ditunjukkan arwah sebelum kejadian namun wanita itu sempat memohon maaf kepada ahli keluarga.

Sementara itu, suami mangsa, Mohd. Redzuan Abdullah, 40, masih dalam keadaan trauma dan enggan mengulas lanjut.

Difahamkan, selepas selesai majlis perkahwinan kira-kira pukul 4 petang, mereka bergerak pulang secara berasingan.

“Suami arwah menunggang motosikal kerana perlu bekerja, manakala arwah memandu kereta bersama anak-anak untuk pulang ke rumah di Ajil,” katanya.

Jenazah ketiga-tiga mangsa disembahyangkan di Masjid Sungai Tong sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tong selepas solat Asar, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN