KOTA BHARU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan menegaskan tiada keperluan untuk menganjak waktu persekolahan di negeri ini meskipun waktu Subuh kini sedikit lewat.
Pengarahnya Siti Norina Muhamad berkata, hal ini kerana ia tertakluk kepada ketetapan serta garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
“Setakat ini kita tidak nampak keperluan itu, kecuali di kawasan pedalaman seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Bahagia, Kuala Krai.
“Hal ini kerana, guru dan murid perlu menaiki bot untuk hadir ke sekolah, justeru kita beri kebenaran memulakan sesi persekolahan pada pukul 8 pagi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran SBP kepada Murid Orang Asli di Dewan Seri Tunjong, di sini hari ini.
Ketika ini, waktu solat Subuh bagi Zon Satu di Kelantan sekitar pukul 6.15 pagi, manakala Zon Dua melibatkan Bertam di Gua Musang dan Jeli pada pukul 6.19 pagi.
Situasi tersebut dijangka berterusan sehingga bulan Ramadan sekali gus memberikan sedikit cabaran kepada sebahagian guru dan murid memandangkan sesi persekolahan di negeri ini bermula pada pukul 7.30 pagi.-UTUSAN










