TOKYO: Sekurang-kurangnya 30 maut akibat salji lebat luar biasa di Jepun dalam tempoh dua minggu lalu, termasuk seorang warga emas berusia 91 tahun yang ditemukan di bawah timbunan salji setinggi tiga meter di luar rumahnya.
Kerajaan pusat mengerahkan tentera untuk membantu penduduk di Aomori, wilayah paling teruk terjejas, di mana salji sehingga 4.5 meter masih menutupi kawasan terpencil.
Perdana Menteri, Sanae Takaichi mengadakan mesyuarat khas peringkat Kabinet pada pagi Selasa untuk mengarahkan menteri agar melakukan sebarang tindakan yang boleh bagi mencegah kematian dan kemalangan.
Angin sejuk yang kuat menyebabkan salji lebat di sepanjang pantai Laut Jepun dalam beberapa minggu terakhir, dengan beberapa kawasan menerima lebih daripada dua kali ganda jumlah salji biasa.
Sejak 20 Januari hingga Selasa, seramai 30 orang dilaporkan meninggal dunia akibat salji lebat, menurut Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana Jepun.
Antara mangsa korban adalah Kina Jin, 91, yang mayatnya ditemukan di bawah timbunan salji di rumahnya di Ajigasawa, Aomori, menurut seorang pegawai polis tempatan yang enggan namanya disiarkan kepada AFP.
Polis percaya salji yang jatuh dari bumbung rumahnya menyebabkan kematian wanita itu. Punca kematian disahkan akibat lemas, kata pegawai berkenaan. Sebuah penyodok aluminium ditemukan berhampiran mayatnya.
“Apabila cuaca menjadi lebih panas, salji yang terkumpul cair dan jatuh. Ia bergantung kepada jumlah salji dan suhu. Bahagian bawah bumbung adalah tempat yang berbahaya,” kata pegawai tersebut kepada AFP.
Gabenor Aomori, Soichiro Miyashita berkata, beliau memohon bantuan tentera Jepun untuk memberikan bantuan bencana.
Beliau berkata, tentera diminta membantu penduduk warga emas di wilayah itu yang tinggal bersendirian dan memerlukan bantuan untuk membersihkan salji.
Dinding salji setinggi 1.8 meter menutupi kawasan ibu kota wilayah, Bandar Aomori, menurut gabenor itu, yang menambah pekerja tempatan yang membersihkan salji dari jalan dan rumah berasa terbeban.
“Bahaya insiden yang mengancam nyawa, seperti kemalangan maut akibat salji jatuh dari bumbung atau runtuhan bangunan, adalah hampir pasti berlaku,” katanya pada sidang media.










