KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menegur segelintir tokoh yang menggunakan sentimen keagamaan untuk menimbulkan permasalahan dan memecah-belahkan perpaduan rakyat berbilang kaum.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, memuliakan darjat sesama manusia walaupun berbeza keyakinan dan kepercayaan akan membawa negara ke arah lebih baik serta menjamin keharmonian.
Katanya, beliau senang melihat tokoh-tokoh muda yang hanya memfokuskan masa dan tenaga ke arah cara positif membina negara tanpa sibuk dengan isu-isu yang memecah-belahkan.
“Bagi menjayakan Malaysia sebagai negara Madani, mengangkat martabat, darjat dan harakat bangsa ini, kita tidak boleh lari daripada berpaksikan tauhid, bertaut kepada keyakinan bahawa ahklak baik dan nilai positif mampu membina negara ini.
“Kalau kita tidak menjurus ke arah itu dan diheret untuk setiap hal-hal negatif, tidak ada negara yang mampu membangun. Negara Malaysia ini negara majmuk,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa dan Peluncuran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan di Masjid Wilayah di sini semalam.
Perdana Menteri berkata, tidak salah jika semua pihak mengambil jalan tengah untuk menghormati satu sama lain walaupun berbeza keyakinan.
“Kalau tidak apa yang dibicarakan? Pergaduhan. Hari-hari yang dikemukakan adalah masalah yang memecahkan di antara kita.
“Ada orang menggunakan kononnya tokoh Islam, ada juga yang gunakan tokoh agama Hindu dan agama lain, hanya untuk menimbulkan permasalahan,” katanya.
Pada masa sama, Anwar juga mengingatkan kepada semua pihak bahawa Malaysia sebuah negara mengamalkan Islam sebagai agama Persekutuan dan majoriti rakyatnya juga beragama Islam.-UTUSAN.










