KOTA BHARU: Peserta wanita yang menyertai himpunan permotoran RXZ Forever Legend, yang berlangsung selama dua hari bermula esok di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung di sini, diwajibkan bertudung.
Pengarah program, Muhamad Huzaifah Abdul Halim, berkata langkah itu bertepatan dengan pengisytiharan lokasi tersebut sebagai zon menutup aurat oleh penganjur.
Katanya, pendekatan itu bertujuan memastikan program berjalan tertib serta menghormati budaya dan peraturan tempatan.
“Sejurus melangkah masuk ke kawasan ini (RTC Tunjung), kesemua peserta secara automatik berada dalam zon menutup aurat.
“Jika terdapat peserta wanita yang hadir tanpa menutup aurat, urusetia akan menyerahkan kain tudung yang telah disediakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Muhamad Huzaifah memberitahu pengasingan tempat duduk melibatkan lelaki, wanita, dan keluarga turut dilakukan bagi memastikan semua peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa dipatuhi sebaik mungkin.
Katanya, penganjur turut mengingatkan peserta supaya tidak membuat bising dengan melakukan ‘rem motosikal’ sama ada di dalam atau di luar tapak program.
“Peraturan jalan raya perlu dipatuhi selain menunggang secara berhemah,” ujarnya.
Muhammad Huzaifah berkata, pihaknya menjangkakan lebih 20,000 peminat motosikal akan membanjiri himpunan tersebut.-UTUSAN










