Peniaga bazar Ramadan elak pembaziran - Utusan Malaysia

Peniaga bazar Ramadan elak pembaziran

PARA peniaga mula mengambil pendekatan berhati-hati dalam penyediaan juadah makanan agar tidak terlalu berlebihan bagi mengelak pembaziran di bazar Ramadan Arau, Perlis semalam.-UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Para peniaga di bazar Ramadan belajar dari pengalaman lalu apabila mula mengambil pendekatan berhati-hati dalam penyediaan juadah makanan agar tidak terlalu berlebihan bagi mengelak pembaziran pada setiap kali bulan berkenaan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth berkata, berdasarkan pemantauan sepanjang seminggu Ramadan, penghasilan janaan sampah menyaksikan hanya sekitar 10 hingga 15 peratus sahaja lebihan makanan atau yang tidak terjual setiap hari.

Katanya, kebanyakan peniaga kini mula berhati-hati dalam penghasilan jualan atau produk berdasarkan pengalaman lalu.

“Para peniaga akan melihat terlebih dahulu sambutan di sesuatu lokasi bazar Ramadan sebelum menyediakan barangan jualan agar tidak berlebihan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Katanya, antara pendekatan yang diambil bagi mengelak pembaziran sepanjang Ramadan adalah dengan mengagihkan semula makanan yang masih selamat melalui kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan seperti program bank makanan.

“Langkah lain adalah seperti kempen pencegahan seperti nasihat kuantiti pengeluaran berperingkat serta galakan promosi harga akhir bagi mengurangkan pembaziran.

“Antara makanan yang sering tidak habis seperti kuih-muih tradisional yang disediakan dalam kuantiti besar, nasi berlauk, roti john dan pelbagai jenis air balang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, antara cadangan atau penambahbaikan pihak jabatan terlibat bagi mengelak pembaziran pada tahun depan dengan memperkenalkan sistem pelaporan ringkas lebihan makanan.

Katanya, ia membabitkan penyediaan borang ringkas atau pelaporan digital bagi mendapatkan anggaran kuantiti lebihan sebenar di setiap bazar Ramadan.

“Antara lain, program selamatkan makanan berjadual iaitu dengan menetapkan waktu pengambilan tetap bersama NGO supaya makanan yang masih selamat dapat diagihkan secara lebih tersusun dan cepat.

“Cadangan lain ialah zon pengasingan sisa organik di bazar Ramadan dan kawasan tumpuan berbuka puasa seperti di padang Dataran Dato’ Sheikh Ahmad. Selain itu, menyediakan tong khas sisa makanan dan papan tanda kesedaran untuk peniaga.

“Selain itu, kempen ‘bazar tanpa pembaziran’ iaitu galakan penyediaan makanan secara berperingkat mengikut trend dan waktu (mingguan) mengikut sambutan pembeli. Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan pembaziran malah membantu peniaga mengawal kos bahan mentah dan kerugian,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN