Pengemis dalam kostum

Pengemis dalam kostum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga jam boleh dapat RM100. Perkara itu dibongkar oleh beberapa individu yang memakai kostum berbentuk haiwan atau watak animasi popular di lokasi tumpuan awam bagi meraih sumbangan ramai.

Kegiatan itu kini seakan-akan sudah menjadi norma pada pandangan umum. Meskipun hakikatnya ia sama seperti perbuatan mengemis yang boleh diambil tindakan di bawah Akta Orang-orang Papa 1977 (Akta 183).

Pendapatan yang lumayan sehingga mencecah ratusan ringgit sehari membuatkan kawasan-kawasan pelancongan di seluruh negara dibanjiri oleh si pemakai kostum.

Tambahan pula, identiti si pelaku tidak terdedah di sebalik topeng figura yang dipakai menyebabkan sesiapa sahaja boleh berdiri memegang tabung sumbangan termasuk individu bawah umur dan warga asing.

Walaupun ada yang mempertahankan perbuatan itu dengan alasan kononnya bukan mengemis, sebaliknya menawarkan khidmat bergambar atau menjual belon, hakikatnya kedua-dua ‘perkhidmatan’ itu tidak mampu menjana pendapatan tinggi tanpa simpati manusia.

Ketiadaan peraturan yang jelas di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menjadi kelompongan dalam usaha pembanterasan.

UNDANG-UNDANG PBT

Kegiatan ini sepatutnya dikawal melalui undang-undang PBT sama seperti penghibur jalanan (buskers) yang perlu mendapatkan kebenaran atau permit sah sebelum membuat persembahan di tempat awam.

SEORANG individu berpakaian kostum seekor katak, berdiri di tepi jalan bagi meraih sumbangan orang ramai terutama pemandu kenderaan di sekitar Bandar Baru Uda, Johor Bahru, baru-baru ini. – MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI

Salah seorang pelaku yang hanya mahu dikenali sebagai Kamal, 61, berkata, dia menya­rung kostum selepas pencen sebagai pekerja pembersihan.

Dia mengakui, sejak setahun terlibat dengan kegiatan itu, pendapatan bulanannya jauh lebih stabil berbanding kerja makan gaji sebelum ini.

“Saya sudah bersara sejak tahun lalu tetapi pada masa sama, saya masih perlu mencari pendapatan kerana mempunyai anak-anak masih bersekolah, komitmen saya besar jadi saya tiada pilihan.

“Saya pilih melakukan kerja ini kerana lihat ramai orang buat benda sama. Dalam tempoh tiga jam boleh dapat RM100. Hujung minggu atau cuti sekolah biasanya lebih banyak. Saya mula mengenakan kostum bermula pukul 3 petang dan berhenti sebelum Maghrib,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Kamal berkata, jumlah yang diberikan orang ramai antara RM1 hingga RM10.

“Jarang orang bagi lebih RM10, ada bukan tiada tetapi jarang. Majoriti orang bagi RM1 dan RM2. Tetapi itu tiada masalah kerana tiada paksaan untuk orang bagi atau tidak.

“Setakat ini saya tidak menerima gangguan daripada pihak berkuasa, polis yang lalu pun beritahu ini bukan bidang kuasa mereka, cuma mereka minta pastikan tiada sebarang masalah berlaku.

“Saya juga tidak menerima gangguan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pihak-pihak lain, jadi buat waktu ini saya akan terus melakukannya kerana ia membantu saya menjana pendapatan,” katanya.

WARGA ROHINGYA

Dalam pada itu, seorang warga Rohingya mengakui, memakai kostum membantunya menyembunyikan identiti berbanding mengemis secara terbuka.

SEORANG individu berpakaian kostum dilihat cuba menahan sebuah kenderaan bagi meraih sumbangan pemandu di sekitar Bandar Baru UDA, Johor Bahru.

Kata wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Sonny, 60, itu, kehadiran terlalu ramai individu yang melakukan kegiatan sama mewujudkan insiden berebut kawasan dan pergaduhan.

“Saya orang Rohingya, tidak banyak pekerjaan yang boleh dilakukan. Sebelum ini saya menjual barangan aksesori wanita tetapi sejak beberapa tahun lalu jualan merosot sehingga saya terpaksa cari pendapatan lain.

“Waktu awal-awal buat dahulu, ada beberapa pihak datang dan menghalau saya dari kawasan ini, mereka lelaki dan jauh lebih muda daripada saya. Saya ditolak sehingga hampir terjatuh,” katanya.

MENYALAHI AKTA

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyatakan, memakai kostum bagi tujuan meraih simpati dan mengemis wang daripada orang ramai merupakan satu kesalahan jika tidak ada permit dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Katanya, perbuatan itu sama ada dilakukan individu dewasa mahupun kanak-kanak, ia menyalahi Akta Orang-orang Papa 1977 (Akta 183) dan Akta Kanak-Kanak 2001.

Menurutnya, operasi me­ngambil orang papa iaitu pengemis dan kutu rayau sering dijalankan secara bersepadu oleh pihaknya bersama Jabatan Imigresen, PBT, polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan pelbagai agensi lain.

Berdasarkan penguatkuasaan yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu, seramai 2,021 orang papa diambil di seluruh negara berdasarkan tindakan operasi secara bersepadu, berjadual termasuk menerusi aduan orang ramai.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,590 membabitkan warganegara, 376 (bukan warganegara), tujuh (tiada kewarganegaraan) dan 48 (tiada maklumat).

“Seramai 105 orang pengemis yang diambil itu adalah dalam kalangan kanak-kanak bawah 18 tahun dengan sembilan individu daripadanya adalah bawah umur dua tahun,” katanya.

TIADA PEKERJAAN FAKTOR MENGEMIS

JKM berkata, tiada pekerjaan antara faktor utama mempengaruhi mereka untuk menjadi pengemis merangkumi 295 orang, selain dibuang keluarga (95), sakit mental (152), penagih dadah (45) dan bekas banduan (16).

TIADA pekerjaan antara faktor utama mempengaruhi mereka untuk menjadi pengemis.

Katanya, operasi yang dilaksanakan bertujuan membanteras aktiviti mengemis di tempat awam serta mengawal golongan kutu rayau di bawah Akta Orang Papa 1977.

“Operasi ini kebiasaannya dianjurkan oleh agensi penguatkuasa seperti PBT, Jabatan Imigresen atau mana-mana jabatan berkaitan dan JKM juga akan turut bersama dalam operasi berkaitan.

“Sekiranya terdapat aduan berkaitan pengemisan, orang awam boleh membuat aduan kepada pihak penguatkuasa seperti PBT, polis dan JKM,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN