PETALING JAYA: Pemulangan RM8.5 bilion hasil rasuah kepada kerajaan dilihat sebagai usaha membanteras ketirisan dana awam, namun kerajaan perlu memastikan pengurusan dana tersebut dibuat secara telus tanpa pilih kasih bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap integriti pentadbiran negara.
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Karim berkata, kejayaan mendapatkan semula dana berkenaan membuktikan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang, namun mendedahkan bahawa rasuah telah berakar umbi secara sistemik.
Menurut beliau, dana tersebut perlu disalurkan kepada sektor yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, termasuk pendidikan integriti, penambahbaikan kesihatan awam, projek rakyat berimpak tinggi serta pewujudan dana khas pencegahan rasuah.
“Mekanisme pemantauan yang ketat amat penting bagi mengelakkan berulangnya ketirisan dana awam.
“Kerajaan wajar mewujudkan laporan awam secara berkala serta membenarkan pemantauan bebas oleh Parlimen dan masyarakat sivil,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak mencadangkan agar RM8.5 bilion tersebut diasingkan dalam tabung khas dengan pelaporan terbuka bagi memastikan penggunaannya dapat dipantau secara menyeluruh.
Beliau berkata, langkah itu bukan sahaja meningkatkan tahap akauntabiliti, malah memastikan dana berkenaan memberi manfaat yang segera dan jelas kepada rakyat.
Katanya, MCCF menyokong ketegasan Perdana Menteri dalam menangani isu rasuah, namun menuntut tindakan susulan yang lebih tegas termasuk rombakan kepemimpinan serta penguatkuasaan undang-undang tanpa sebarang pengecualian.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun serta menyita aset bernilai RM6.95 bilion sepanjang tahun 2025.
SPRM turut mencapai penyelesaian bernilai RM1.5 bilion, mengenakan kompaun sebanyak RM49.7 juta serta melucut hak RM8.1 juta hasil rasuah dan pengubahan wang haram.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menegaskan bahawa jumlah rampasan berbilion ringgit itu mencerminkan skala cabaran rasuah yang masih membelenggu negara dan memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh seminggu kepada pimpinan tertinggi agensi penguatkuasaan untuk melaksanakan pembaharuan atau berdepan tindakan penurunan pangkat.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berpandangan bahawa pemulangan RM8.5 bilion tersebut mendedahkan tahap kebocoran dana awam yang serius.
“Pembaharuan segera seperti pelaksanaan tender terbuka, pengisytiharan harta secara berkala, pemantauan gaya hidup penjawat awam serta pendidikan anti-rasuah perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan kelestarian ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN










