Malaysia kekurangan graduan doktor

Malaysia kekurangan graduan doktor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekurangan gra­duan yang menyertai program perubatan menimbul­kan isu ketidakseimbangan peng­agihan di seluruh negara, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Kebangsaan Ma­laysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, peng­agihan tenaga perubatan di negara ini masih tidak seimbang walaupun nisbah doktor secara keseluruhan mencukupi bagi po­pulasi.

“Lebih ramai doktor ditempatkan di kawasan bandar utama seperti Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang, manakala kawasan luar bandar serta negeri yang lebih luas geografi­nya masih berdepan kekura­ngan tenaga perubatan.

“Masalah ini menjejaskan akses rakyat di kawasan luar ban­dar untuk mendapatkan ra­watan berkualiti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kementerian Kesihatan (KK­M) mendedahkan, penurunan pengisian slot Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) turut memberi impak langsung kepada keupayaan sistem untuk membekalkan tenaga kerja yang mencukupi.

Meskipun semua 579 graduan yang memohon telah dilantik, jumlah itu hanya mengisi sekitar 10 peratus daripada kekosongan slot nasional.

Sehingga Februari 2026, trend nasional bagi kadar pengisian di 48 Hospital Latihan Siswazah (HLS) seluruh negara kini berada pada tahap 53 peratus iaitu 6,500 slot terisi daripada 12,198 kapasiti.

Dr. Sharifa Ezat berkata, ke­kurangan doktor pakar dalam bidang kritikal walaupun jumlah doktor am mencukupi memburukkan lagi keadaan sedia ada di dalam KKM.

Katanya, masih memerlukan lebih ramai pakar dalam bidang tertentu seperti pembedahan, anestesiologi, onkologi, pedia­trik, kardiologi dan psikiatri.

“Ramai pakar telah beralih ke hospital swasta atau me­ning­galkan negara disebabkan gaji atau ganjaran yang lebih tinggi, sekali gus menjejaskan perkhidmatan pakar di hospital awam.

“KKM perlu meningkatkan peruntukan bagi sektor peruba­tan dan kesihatan negara serta memberi pilihan kepada pesakit untuk mendapatkan khidmat doktor di sektor awam atau swasta, khususnya bagi mereka yang menggunakan insurans kesihatan.

“Bayaran perkhidmatan di klinik kerajaan juga boleh dise­suaikan mengikut kualiti rawatan, kos rawatan dan inflasi ke­sihatan, contohnya dari RM1 ke RM10,” katanya.

Beliau berkata, reformasi sis­tem pembiayaan kesihatan masa depan akan memboleh­kan pencarum mendapatkan perkhidmatan sama ada di sektor awam atau swasta, sekali gus mengurangkan tempoh me­nunggu.

“Kita sentiasa perlu menambah doktor muda kerana sebahagian staf bersara, berhenti, berpindah ke swasta atau keluar negara. Pada masa sama, negara perlu memastikan doktor-doktor ini kekal memberikan khidmat kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Har­tal Doktor Kontrak (HDK) berkata, krisis tenaga kerja perubatan di negara ini dilihat semakin serius terutama melibatkan jurang besar dalam perjawatan pegawai perubatan sis­wazah dan pegawai peruba­tan yang kini menjejaskan sistem kesihatan awam.

Katanya, kegagalan peranca­ngan serta sistem kontrak sedia ada menyebabkan ramai doktor berpindah ke sektor swasta atau meninggalkan negara, sekali gus memburukkan lagi ketidakseimbangan tenaga perubatan.

“Sasaran nisbah antara dok­tor dan penduduk masih belum tercapai, manakala pe­gawai pe­rubatan siswazah te­rus di­be­ban­kan kerja dan digunakan sebagai tenaga buruh perkhid­matan, bukannya dilindungi sebagai pe­gawai dalam latihan.

“Sehingga kini tiada pelan jelas dan mampan bagi menamatkan sistem kontrak, malah garis masa, angka tahunan bagi lantikan tetap serta pemansuhan sistem kontrak perlu ditetapkan,” ujarnya.

Kata beliau, KKM perlu meye­diakan laluan kerjaya yang telus bagi semua doktor kontrak termasuk peluang mengikuti latihan kepakaran.

“Gaji, elaun, keadaan kerja lebih baik dan perlindungan sebenar daripada budaya buli serta keletihan melampau perlu diberikan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan petugas kesihatan.

“Audit bebas juga perlu dilaksanakan terhadap beban kerja dan keselamatan pesakit, termasuk laporan awam yang memaparkan bilangan doktor, kekosongan jawatan serta kadar penghijrahan tenaga perubatan,” katanya.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar pula berkata, kekurangan graduan perubatan yang memasuki sistem latihan KKM dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyumbang kepada isu kekurangan doktor dalam perkhidmatan kesihatan awam ketika ini.

Katanya, dari segi pengambilan pelajar perubatan berbanding kapasiti latihan, secara relatifnya isu utama bukan lebihan graduan, sebaliknya kekurangan graduan yang memasuki sistem KKM berbanding kapasiti latihan yang tersedia.

“Bagi struktur latihan siswazah pula, sistem sedia ada perlu disemak dan diubah suai agar lebih selari dengan keperluan semasa, khususnya dari aspek tempoh serta fokus latihan.

“Berdasarkan perkembangan semasa, isu kekurangan doktor di KKM merupakan masalah kompleks yang berpunca daripada pelbagai faktor dan bukan sekadar jumlah graduan perubatan semata-mata.

“Negara sebenarnya mempunyai kapasiti latihan siswazah, namun kapasiti tersebut tidak diisi sepenuhnya oleh graduan sedia ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN