Konsep santai, kreatif MyKiosk di Perlis

Konsep santai, kreatif MyKiosk di Perlis

KONSEP bersantai melibatkan enam buah MyKiosk yang beroperasi sehingga lewat malam di Perlis menjadi tarikan di dataran pasar lama MPK, Kangar, Perlis. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Majlis Perbandaran Kangar (MPK) mengambil inisiatif memperkenalkan konsep menarik di sesetengah kawasan projek MyKiosk di Perlis.

Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth berkata, antara yang ditampilkan adalah konsep santai ataupun healing port di dataran pasar lama Kangar yang beroperasi sehingga lewat malam.

Katanya, di lokasi tersebut turut diubah konsep daripada pandu lalu kepada orang ramai boleh bersantai menikmati makanan dan minuman di kawasan tepi sungai berkenaan.

“Konsep MyKiosk seperti itu adalah pertama di Perlis dan mungkin di Malaysia dengan MPK juga membantu menyediakan kemudahan elektrik kepada para peniaga di kawasan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Affendi Rajini berkata, kemudahan MyKiosk sememangnya berjaya membantu meningkatkan pendapatan para peniaga selain mendapat permintaan atau permohonan cukup tinggi.

Katanya, di Perlis, sebanyak 90 MyKiosk disediakan telah penuh dengan permohonan pula me­lebihi 270 sekali gus menunjukkan permintaan terhadap kemudahan itu cukup tinggi.

Beliau berkata, berikutan per­mintaan yang tinggi itu, pihaknya juga sudah beberapa kali menghantar permohonan kepada kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi penambahan MyKiosk tersebut.

“MPK juga memohon agar MyKiosk yang tidak disewa atau digunakan di mana-mana negeri lain diberikan kepada Perlis bagi memenuhi permintaan para perniaga di sini.

“Pelaksanaan MyKiosk sangat membantu peniaga dan tidak ada satu pun kawasan projek berkenaan yang didakwa sebagai gajah putih khususnya di Perlis.

“Ia merupakan inisiatif yang cukup baik dalam meningkatkan taraf ekonomi para peniaga.

“Di Perlis, jika ada kiosk bermasalah atau mengalami kerosakan, MPK juga mengambil inisiatif membaiki dengan peruntukan MPK sendiri,” katanya.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, dakwaan bahawa projek MyKiosk sebagai ‘gajah putih’ adalah tidak tepat susulan inisiatif itu berjaya membantu meningkatkan pendapatan lebih 7,000 keluarga penjaja kecil di seluruh negara.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN