KOTA BHARU: Seorang individu yang bertindak menukar jantina dihadapkan ke Mahkamah Syariah di sini pada pertengahan bulan lalu mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.
Sumber Jabatan Agama Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) berkata, pendakwaan itu dibuat selepas undang-undang tersebut dikuatkuasakan pada 2020.
Katanya, individu berkenaan ditahan dalam satu operasi ke atas acara yang melibatkan sekumpulan transgender awal tahun ini.
“Kes tersebut masih berada di peringkat pengurusan selepas tertuduh mengaku tidak bersalah atas pendakwaan.
“Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 18 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019, berkaitan kesalahan mengubah jantina sendiri atau orang lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sumber itu turut memberitahu, sekiranya sabit kesalahan, individu terbabit boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd. Asri Mat Daud, berkata pihaknya tidak boleh mendedahkan kes berkenaan secara terbuka.
Katanya, beliau tidak mempunyai maklumat lanjut kerana kes tersebut masih dalam perbicaraan.
“Dalam hal ini, saya kena jaga semua pihak yang sedang diambil tindakan,” ujarnya.-UTUSAN










