KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menetapkan kadar sewaan tapak Bazar Ramadan di negeri dibawah selian pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula serendah RM60 hingga RM550.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, kadar itu ditetapkan secara berpatutan mengikut lokasi dan kemudahan, tanpa membebankan peniaga.
“Kadar paling rendah RM60 ditawarkan bagi tapak luar di Beris Kubor Besar di bawah seliaan Majlis Daerah Bachok, manakala beberapa lokasi lain turut menawarkan kadar serendah RM90 hingga RM150 di jajahan itu.
“Kadar tertinggi sewa tapak bazar Ramadan tahun ini di Bandar Pasir Puteh sebanyak RM550 manakala Majlis Daerah Kuala Krai pula RM500 di Dataran KK Square,” katanya di sini hari ini.
Hilmi memberitahu, Majlis Daerah Machang menawarkan tapak pada kadar RM100 di beberapa lokasi seperti Labok, Temangan dan Pulai Chondong.
“Majlis Daerah Tumpat pula menyediakan 274 tapak dengan kadar antara RM90 hingga RM500 selain bayaran lesen RM50.
“Di kawasan pedalaman, Majlis Daerah Gua Musang menawarkan 160 tapak pada kadar RM250, manakala Majlis Daerah Jeli (RM90–RM150) dan Majlis Daerah Dabong (RM210) turut menyediakan tapak bagi memenuhi permintaan setempat,” ujarnya.
Hilmi berkata, bagi Majlis Daerah Pasir Mas pula, sebanyak 165 tapak ditawarkan dengan kadar RM350 di Bandar Tasek Raja dan RM250 di Tendong.-UTUSAN










