PETALING JAYA: Pemimpin Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus bertelagah dalam kemelut pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) baharu yang kelmarin genap sebulan jawatan itu dibiarkan kosong.
Pertelagahan mengundang kepada ajakan ‘gencatan senjata’ diadakan bagi mengelak lebih banyak pendedahan hal-hal sulit berkaitan gabungan itu didedahkan di media sosial.
Pelawaan Ahli Parlimen Bachok yang juga Setiausaha Politik Presiden Pas, Syahir Sulaiman itu disambut secara berlapik oleh Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Belum pun ‘gencatan senjata’ berlaku, ia ditolak oleh Setiausaha Agung Pas yang juga Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dengan alasan ia seolah-olah memberi gambaran berlaku perbalahan besar antara kedua-dua parti itu.
Kata Takiyuddin, ia hanya melibatkan perbezaan pandangan dan pendekatan dalam menangani beberapa isu berkaitan gabungan PN.
“Perkara itu adalah sesuatu yang biasa dalam sesebuah gabungan politik. Ia bukan isu besar dan tidak wajar diperbesarkan.
“Sebarang perbezaan pendapat dalam PN perlu diselesaikan melalui saluran yang betul serta mengikut peruntukan perlembagaan gabungan berkenaan,” katanya di Kota Bharu, semalam.
Terdahulu, Syahir berkata, akibat daripada pertelagahan berterusan, perjalanan gabungan tersebut kini tergendala menyebabkan ahli-ahlinya gelisah manakala rakyat tertunggu-tunggu.
“Hari ini (kelmarin) 1 Februari. Sudah genap sebulan ‘pemandu bas’ meletak jawatan, 1 Januari. Perjalanan tergendala. Penumpang gelisah. Keluarga (rakyat) menunggu. Kami (Pas) hanya mahu teruskan perjalanan.
“Justeru atas rasa hormat kepada kekanda Datuk Dr. M dan Tun F, permintaan saya, cukup-cukuplah menulis,” katanya di Facebook beliau dipercayai merujuk kepada bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad dan Tun Faisal.
Syahir berkata, di sebalik kemelut yang melanda PN, Pas sudah melancarkan jentera pilihan rayanya di Perak dan Melaka manakala beberapa negeri lain bakal menyusul.
“Di pihak Pas, jentera sudah siap siaga. Tabung sudah dikira. Calon pun sudah turun bekerja. Persiapan bukan setakat di 43 kerusi Parlimen kami, termasuk di enam kerusi ‘lompat’ yang dilaporkan tidak terjaga.
“Itu belum termasuk dua kerusi kalian (Bersatu) yang dengarnya ‘bakal’ melompat, harapnya dapatlah berjaga,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan supaya ‘operator-operator’ bersetuju untuk gencatan senjata kerana diam itu emas dan serahkan kepada pucuk pimpinan untuk mengadakan mesyuarat ‘full-council’ segera.
“Jika kalian berpandangan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah Pengerusi PN yang masih ‘berkuatkuasa’, mudah saja, sila panggil mesyuarat segera. Kami hanya mahu meneruskan perjalanan. Jangan berlengah lagi,” katanya.
Tun Faisal dalam jawapannya meminta agar Pas mengeluarkan kenyataan maaf atas tuduhan ke atas Bersatu berhubung krisis Menteri Besar Perlis.
Beliau juga mahu Syahir menyatakan isu dibincangkan semasa pertemuan Abdul Hadi dan Presiden Bersatu, Muhyiddin dan persetujuan Takiyuddin memanggil Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN tanpa menjemput Muhyiddin.
Tun Faisal turut menjelaskan pandangan mereka mengenai kedudukan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN.
Menurut beliau, ia bersandarkan kepada Perkara 8.3(I)(b) Perlembagaan PN yang memperuntukkan bahawa “perletakan jawatan Pengerusi hanya berkuat kuasa selepas mendapat kelulusan Majlis Tertinggi, yang seterusnya akan memilih Pengerusi baharu.”
Justeru soalnya, mengapa PN masih tidak memanggil Mesyuarat MT kerana berdasarkan catatan semasa pertemuan Abdul Hadi dan Muhyiddin pada 16 Januari lalu, beberapa perkara telah dipersetujui dan dimuafakati serta perlu diambil tindakan susulan. – UTUSAN











