Fokus impak masyarakat desa

Fokus impak masyarakat desa

Ahmad Zahid Hamidi (tiga, kiri) pada Majlis Pemukiman KKDW dan Permukiman Syarikat Milikan Agensi KKDW Tahun 2026 di Kuala Nerus, baru-baru ini. – MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kesan boleh dirasai rakyat.

Itu fokus Pelan Strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2026–2030 yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai usaha berterusan memperkasa pembangunan luar bandar.

Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd. Khair Razman Mohamed Annuar berkata, fokus pelan kali ini adalah keberhasilan dan impak yang boleh dirasai masyarakat, bukan sekadar output semata-mata.

“Pelan kali ini menumpukan hasil yang boleh dirasai masyarakat tetapi berpandukan kepada lima teras tersebut. Dengan cara ini, lebih mudah untuk mengukur impak daripada program yang dilaksanakan kerana ia lebih sistematik,” katanya.

Menurut Muhd. Khair Razman, walaupun pelan sebelum ini berjaya dengan pencapaian 42 inisiatif transformatif mencapai 100 peratus, KKDW tidak boleh cepat berpuas hati.

“Jika tahun lalu kita ada 42 inisiatif transformatif, tidak semestinya tahun ini kita perlu ada 48. Yang utama adalah kualiti dan impak kepada masyarakat, bukan kuantiti,” katanya.

Beliau berkata, dalam ekosistem KKDW, terdapat 66,000 usahawan desa dalam kategori eko dan nano yang bergantung kepada program seperti karnival usahawan setiap dua tahun.

Umpamanya, kata beliau, Karnival Tiga Dimensi tahun lepas dan pelan strategik akan menekankan penskalaan usahawan desa supaya tidak terlalu bergantung kepada bantuan.

“Bantuan diberikan dalam tempoh tiga hingga empat tahun. Jika usahawan mencapai tahap ditetapkan, peluang lebih besar diberikan. Jika tidak, pe­luang diberikan kepada usahawan lain untuk bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Katanya, daripada 66,000 usa­hawan, hanya sekitar 7,000 berada dalam kategori sederhana ke atas manakala program Gate to Global di bawah Mara melibatkan kurang 100 usahawan.

“Antara cabaran utama adalah penjenamaan, pembungkusan dan kualiti produk seperti sijil halal antarabangsa. KKDW berhasrat mengetengahkan le­bih ramai usahawan desa ke peringkat antarabangsa terma­suk menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Dubai dan MIHAS Shanghai. Kita tidak mahu mereka hanya menyertai karnival tempatan,” katanya.

Dalam menangani cabaran pembangunan luar bandar, beliau berkata, lembaga kemajuan wilayah perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa koridor dengan berkongsi maklumat pelaburan, peluang pekerjaan untuk belia dan mengurangkan migrasi dari luar bandar ke bandar.

“Walaupun kadar migrasi menurun, peluang Pendidikan dan latihan Teknikal serta vokasional (TVET) dan pembangunan modal insan menjadi faktor utama golongan muda terus kekal di desa,” katanya.

Ujarnya, peranan KKDW sahaja tidak mencukupi dan memerlukan kolaborasi kementerian lain.

Cabaran lain adalah memastikan belia tempatan mengambil peluang dalam industri pelancongan desa.

“Di kawasan seperti Kenyir – Hulu Terengganu, banyak pe­luang diambil pihak luar. Jus­teru, kita melihat strategi komunikasi yang menyeluruh perlu diwujudkan untuk memastikan projek yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN