KUALA LUMPUR: Filem pendek bersempena Tahun Baharu Cina 2026 dihasilkan Kementerian Perpaduan Negara berjudul ‘Pulang’ menyentuh jiwa serta menzahirkan nilai kekeluargaan dan perpaduan.
Nashkah berkenaan mengangkat tema kasih sayang, kehilangan dan makna sebenar sebuah keluarga dalam kerangka perpaduan rakyat.
Filem pendek itu mengisahkan perjalanan emosi seorang pemandu teksi warga emas iaitu uncle Lim yang hidup kekosongan selepas kehilangan isteri dan anak akibat terlalu sibuk bekerja sehingga mengabaikan masa bersama insan tersayang.
Dalam kesunyian menjelang perayaan, takdir mempertemukannya dengan pelbagai wajah Malaysia yang akhirnya membuka kembali pintu hatinya terhadap erti kasih dan kebersamaan.
Teras kekuatan penceritaan filem berkenaan terserlah melalui lakonan penuh jiwa oleh Lee Kah Chun atau nama sebenarnya Abdul Rahman Lee yang membawakan watak Kai, seorang suami dan bapa penyayang dari Sabah.
Watak Kai digambarkan sebagai lelaki yang tenang, matang dan penuh empati dengan dia
bukan sekadar penumpang di dalam teksi uncle Lim, sebaliknya menjadi pencetus perubahan emosi dalam diri warga emas tersebut.
Turut menguatkan naratif ialah watak Jia iaitu isteri kepada Kai dari Sarawak, dilakonkan dengan penuh kelembutan dan keikhlasan
Filem tersebut menutup tirai dengan mesej meskipun insan tersayang telah tiada, kasih sayang terus menyinari jalan pulang. Dari kasih sesama insan, lahirlah perpaduan.
Filem pendek tersebut boleh ditonton melalui media sosial @aaronagodagang dan Kementerian Perpaduan Negara.
Melalui karya tersebut, Kementerian Perpaduan Negara menegaskan bahawa perpaduan tidak hanya terjalin melalui dasar dan polisi tetapi melalui empati, bahasa yang dikongsi, jemputan makan bersama dan keberanian untuk membuka pintu rumah serta hati.
‘Pulang’ bukan sekadar filem perayaan, ia adalah cerminan realiti masyarakat majmuk Malaysia – bahawa dalam kepelbagaian budaya, bahasa dan latar belakang yang berkongsi nilai sama iaitu keluarga, kasih dan harapan.-UTUSAN










