TEL AVIV: Enam pesawat pengisian bahan api udara tambahan milik Amerika Syarikat (AS) dilaporkan menuju ke Lapangan Terbang Ben Gurion berhampiran Tel Aviv, lapor Times of Israel semalam.
Penempatan aset tersebut sebagai sebahagian daripada peningkatan ketenteraan AS di Asia Barat berikutan ketegangan yang meningkat dengan Iran.
“Lima pesawat pengisian bahan api KC-46 AS akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Portsmouth di New Hampshire, dan kapal tangki keenam akan berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Seymour Johnson di Carolina Utara.
“Kesemua dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Ben Gurion,” lapor akhbar itu, memetik penganalisis yang menjejaki data penerbangan sumber terbuka.
Laporan itu berkata, beberapa pesawat pengisian bahan api dan kargo AS dikesan di lapangan terbang yang sama awal minggu ini, bersama pesawat sokongan logistik dan kru udara.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, puluhan jet pejuang AS, termasuk F-35, F-22, F-15 dan F-16, dilaporkan menujuk ke Asia Barat, bersama puluhan pesawat pengisian dan ratusan penerbangan kargo tentera.
Perkembangan berlaku ketika rundingan tidak langsung antara AS dan Iran diteruskan, berikutan penilaian media Israel bahawa Washington mungkin melancarkan serangan ke Teheran, walaupun tiada keputusan rasmi diumumkan oleh pihak berkuasa AS.
AS mengukuhkan kehadiran ketenteraannya di rantau itu dan memberi isyarat kemungkinan tindakan ketenteraan bagi menekan Iran supaya menghentikan program nuklear dan peluru berpandunya serta mengawal sekutu serantau negara itu.
Teheran menuduh Washington dan Israel mereka-reka alasan untuk campur tangan dan menukar rejim, serta memberi amaran akan bertindak balas terhadap sebarang serangan ketenteraan, walaupun terhad, sambil menegaskan sebarang sekatan terhadap program nuklearnya mesti disertai dengan kelonggaran sekatan.- ANADOLU









