Ditutup mata dan digari, rakyat Palestin dedah pengalaman ngeri kembali ke Gaza

Ditutup mata dan digari, rakyat Palestin dedah pengalaman ngeri kembali ke Gaza

HUDA Abu Abed berpelukan dengan ahli keluarganya di Khan Younis selepas pulang dari Mesir melalui lintasan Rafah.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH/GAZA: Wanita Palestin yang terpilih untuk dibenarkan kembali ke Gaza selepas pembukaan semula lintasan Rafah menceritakan pengalaman mereka ditutup mata, digari dan disoal siasat oleh tentera Israel ketika cuba pulang ke tanah air.

Perjalanan mereka dari Mesir pada Isnin melalui pintu sempadan merentasi zon garisan kuning yang dikawal Israel serta kumpulan bersenjata Palestin, melibatkan kelewatan berpanjangan.

Malah, barang mereka termasuk hadiah mainan yang dibawa turut dirampas, menurut seorang daripada wanita terbabit.

“Ia adalah perjalanan yang sangat mencabar dan ngeri, penuh penghinaan dan penindasan,” kata seorang wanta, Huda Abu Abed, 56, menerusi panggilan telefon dari khemah tempat keluarganya berlindung di Khan Younis, selatan Gaza.

Kenyataannya disokong oleh seorang lagi wanita yang ditemu bual Reuters, serta kenyataan seorang wanita ketiga dalam wawancara di televisyen Arab.

Tentera Israel menafikan pasukannya bertindak tidak wajar atau menganiaya rakyat Palestin yang melintasi sempadan ke Gaza, tanpa menjawab secara khusus dakwaan yang dikemukakan oleh dua wanita itu.

DISOAL SIASAT SEPERTI PENJENAYAH

Kira-kira 50 rakyat Palestin dijangka memasuki Gaza pada Isnin, namun menjelang malam hanya tiga wanita dan sembilan kanak-kanak dibenarkan masuk, menurut sumber Palestin dan Mesir, manakala 38 lagi terkandas menunggu pemeriksaan keselamatan.

Daripada 50 orang yang menunggu untuk keluar dari Gaza, kebanyakannya bagi rawatan perubatan, hanya lima pesakit bersama tujuh ahli keluarga pengiring berjaya menyeberang ke Mesir pada Isnin.

Huda berkata, mereka yang pulang dihadkan membawa satu beg pakaian setiap seorang dan mula berdepan masalah di lintasan sempadan apabila pemantau sempadan Eropah merampas mainan yang dibawa sebagai hadiah.

Wanita itu menghabiskan setahun di Mesir bagi rawatan jantung, namun pulang sebelum rawatan selesai kerana terlalu merindui keluarganya.

Seorang anak perempuannya juga menjalani rawatan di Mesir sementara dua lagi anak yang masih kecil berada di Gaza. Seorang anak lelakinya terbunuh pada Disember 2024 tanpa sempat dia menatapnya buat kali terakhir.

Selepas melalui lintasan Rafah dan masuk ke Gaza, 12 orang yang kembali itu kemudian menaiki sebuah bas untuk merentasi zon kawalan Israel dan melintasi garisan kuning yang memisahkan kawasan kawalan tentera rejim dan Hamas.

Seorang wanita kedua, Sabah Al-Raqeb, 41, berkata, bas yang diiringi dua kenderaan pacuan empat roda itu dihentikan di sebuah sekatan jalan raya yang dikawal lelaki bersenjata Palestin pro-Israel yang memperkenalkan diri sebagai anggota Pasukan Popular, atau lebih dikenali sebagai militan Abu Shabab.

Menurut Sabah dan Huda, nama keluarga wanita-wanita itu dibacakan melalui pembesar suara dan setiap seorang diiringi dua lelaki dan seorang wanita dari anggota kumpulan Abu Shabab ke satu pusat keselamatan di mana tentera Israel menunggu. Mereka kemudian ditutup mata dan digari.

Mereka disoal mengenai pengetahuan tentang Hamas, serangan 7 Oktober 2023 ke atas Israel yang mencetuskan perang, serta isu berkaitan kegiatan bersenjata, menurut kedua-dua wanita itu.

Anggota bersenjata Palestin anti-Hamas itu juga memberitahu mereka boleh kekal di zon kawalan Israel.

“Pegawai itu bertanya mengapa saya kembali ke Gaza. Katanya Gaza sudah musnah. Saya menjawab saya pulang demi anak-anak dan keluarga,” kata Sabah, yang kini kembali bersama tujuh anaknya di khemah pelarian selepas meninggalkan Gaza dua tahun lalu untuk perjalanan singkat bagi rawatan perubatan.

Huda pula berkata, sesi soal siasat berlangsung lebih dua jam.

Dalam kenyataan menafikan sebarang salah laku, tentera Israel mendakwa tiada insiden yang diketahui melibatkan perlakuan tidak wajar, penganiayaan, penahanan atau rampasan harta oleh pihak keselamatan Israel.

Menurut kenyataan itu, terdapat proses pengenalpastian dan saringan di kemudahan saringan Regavim yang diuruskan oleh pihak keselamatan di kawasan di bawah kawalan tentera Israel.

Proses itu, katanya, dijalankan selepas saringan oleh kakitangan Eropah sebagai sebahagian daripada mekanisme yang dipersetujui semua pihak.

MILITAN ABU SHABAB BERSEKONGKOL

Lintasan Rafah, satu-satunya laluan keluar masuk bagi hampir keseluruhan lebih dua juta penduduk Gaza ditutup sepanjang tempoh peperangan dan pernah dibuka tetapi dalam waktu singkat dan urusan yang sangat terhad.

Ia sepatutnya dibuka semula pada fasa pertama gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang dipersetujui pada Oktober.

Rafah, sebuah bandar dengan kira-kira suku juta penduduk, hampir sepenuhnya dikosongkan semasa perang apabila Israel mengarahkan semua penduduk keluar sebelum menjalankan perobohan besar-besaran yang meninggalkan kawasan itu menjadi ‘bukit runtuhan’.

Bandar itu terletak dalam zon kawalan keselamatan yang dikekalkan Israel selepas tenteranya berundur ke garisan kuning pada Oktober, di mana Pasukan Popular turut beroperasi.

Sejak pemimpin pasukan itu, Yasser Abu Shabab terbunuh tahun lalu, kumpulan tersebut dipimpin timbalannya, Ghassan Dahine.

“Unit Kelima di bawah pimpinan saya akan memainkan peranan keselamatan penting berkaitan keluar masuk melalui lintasan Rafah,” lapor laman berita Israel Ynet memetik kenyataan Ghassan.

Kira-kira 20,000 penduduk Gaza berharap dapat keluar untuk rawatan di luar negara. Walaupun pembukaan semula berjalan perlahan, ramai menyatakan langkah itu memberi kelegaan.

Minggu ini, 50 lagi rakyat Palestin dijangka menyeberang ke Gaza dari Mesir, menurut sumber Kaherah.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN