KOTA BHARU: Urus niaga di Bazar Tok Guru di sini, bukan lagi disifatkan sebagai ‘nyawa-nyawa ikan’, sebaliknya boleh dikatakan sudah ‘lingkup’ apabila ramai peniaga mendakwa terpaksa menutup premis jualan.
Ia susulan jualan di premis berkenaan jatuh mendadak selain berdepan dengan tunggakan sewa kedai yang gagal dilunaskan akibat kekurangan pelanggan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kebanyakan peniaga lebih banyak ‘berehat’ sambil termenung menanti kehadiran pelanggan selain terpaksa bersaing dengan jualan secara dalam talian.
Seorang pembantu kedai, Munira Mustafa, 45, berkata, sudah banyak premis perniagaan di situ terpaksa ditutup selepas tidak mampu membayar sewa, selain jualan kurang memberangsangkan.
Katanya, kebanyakan pelanggan yang datang ke sini sekadar melihat barangan dan tidak membuat pembelian.
“Situasi ini mungkin disebabkan faktor masa kini yang mana barangan dijual secara dalam talian,” katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Bazar Tok Guru, Mohd. Azman Mohd. Sultan, 51, berkata, perniagaannya merosot lebih 60 peratus selepas pandemik Covid-19 pada 2020.
Katanya, dia terpaksa bertahan bagi memastikan dapur rumahnya terus berasap selain menyara keluarga.
“Saya akui jualan batik sarung, kain pelikat dan samping merosot kerana pelanggan tidak datang membeli. Kadang-kala dalam sehari pun susah untuk saya mendapat hasil jualan tetapi mungkin itu rezeki masing-masing,” katanya. – UTUSAN










