KANGAR: Sejumlah RM350,000 diperuntukkan kerajaan negeri bagi mengimarahkan malam Ramadan di Perlis melalui program kebajikan yang dilaksanakan di Dewan Warisan di sini.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, pelaksanaan program itu juga ditanggung oleh orang persendirian dan penderma yang ikhlas menyumbang bagi menjayakan inisiatif tersebut.
Beliau berkata, pelaksanaan program itu akan dilaksanakan selama 10 ke 15 malam Ramadan dengan sasaran 3,000 penerima bagi setiap 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Jadi pada setiap malam, dianggarkan hampir 400 penerima mengikut kategori-kategori ditetapkan khususnya mereka yang kurang berkemampuan menerima bantuan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Anak Yatim oleh Badan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Perikatan Nasional Perlis (Az Zahra) di Dewan Warisan hari ini.
Menerusi penyerahan itu, seramai 225 anak yatim dari 15 DUN di negeri ini menerima sumbangan daripada Az Zahra terdiri daripada wang tunai dan barangan keperluan asas.
Abu Bakar berkata, pihaknya berharap agihan bantuan itu sedikit sebanyak dapat memberikan keceriaan buat anak-anak yatim terlibat dalam menyambut Ramadan ini.
“Ini merupakan sumbangan pertama Az Zahra bersempena bulan Ramadan tahun ini dan kerajaan negeri juga turut mempunyai beberapa program kebajikan lain yang disediakan buat golongan memerlukan,” katanya.
Abu Bakar berkata, kerajaan negeri sedang berusaha mendapatkan peruntukan bagi penyaluran sumbangan khusus buat golongan memerlukan bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Beliau berkata, untuk tujuan itu, kerajaan negeri mensasarkan penyaluran bantuan itu kepada 1,000 penerima daripada 15 DUN menjelang ketibaan perayaan tidak lama lagi.
“Langkah ini adalah usaha kerajaan negeri bagi menyemarakkan lagi sambutan hari raya buat seluruh rakyat di negeri ini,” katanya.-UTUSAN










