Bersatu Perlis fokus pentadbiran negeri, harap isu di pusat selesai secara baik - Utusan Malaysia

Bersatu Perlis fokus pentadbiran negeri, harap isu di pusat selesai secara baik

ABU BAKAR HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis mengambil pendekatan fokus kepada pentadbiran negeri sambil berharap krisis parti itu di peringkat pusat diselesaikan secara baik dalam semangat kekeluargaan.

Pengerusinya, Abu Bakar Hamzah berkata, pentadbiran negeri perlu diberikan lebih tumpuan memandangkan Perlis juga pernah berdepan krisis sebelum ini dan kini dalam proses pengukuhan.

Katanya, krisis melibatkan Bersatu adalah di peringkat nasional yang tiada sebarang kaitan dengan pentadbiran parti itu di peringkat negeri yang masih kekal berprinsip dalam mempertahankan pentadbiran negeri sedia ada.

“Bersatu negeri tidak boleh terlibat dalam kemelut di peringkat pusat memandangkan, Perikatan Nasional (PN) di Perlis juga baharu sahaja selesai mendepani kemelut yang melanda gabungan itu.

“Saya berharap Bersatu Perlis dikecualikan atau tidak dikaitkan dengan mana-mana kem di dalam parti memandangkan kita semua adalah keluarga,” katanya di sini hari ini.

Abu Bakar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian Bersatu di peringkat negeri susulan isu pemecatan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin daripada Bersatu.

Abu Bakar berkata, beliau bersama empat lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu di negeri ini akan kekal tenang dan berprinsip biarpun tercetusnya isu tersebut.

“Kita juga tidak ada masalah dalam pengurusan bersama kepimpinan Pas di Perlis, jadi kita kena pastikan kali ini, dalam pilihan raya akan datang, kita dapat pertahankan PN di Perlis,” katanya.

Katanya, Bersatu negeri juga sentiasa memantau perkembangan di peringkat pusat dan mengharapkan penyatuan sebenar akan berlaku demi mengukuhkan kerajaan PN khususnya di Perlis dan pusat.

“Buat masa ini, kita akan terus fokus dalam memberi perhatian kepada penyatuan dan kebajikan rakyat di negeri ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN