JOHOR BAHRU: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan masuk campur isu dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyaksikan Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat keahliannya serta-merta.
Beliau yang juga Perdana Menteri sebaliknya berkata, tumpuan pihaknya adalah untuk memperkuat jentera PKR bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
“Biarkan dia orang bergaduh dahulu,” katanya ringkas selepas meninggalkan Majlis Perjumpaan Presiden PKR bersama PKR Johor di Pulai Spring Resort, di sini hari ini.
Mengulas berhubung majlis tersebut, beliau memberitahu ia diadakan bertujuan menyampaikan amanat gerak kerja menuju Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan pada tahun ini.
“(Setiap cabang) Perlu kerja kuat, kerja kuat sebagai satu pasukan,” ujarnya.
Jumaat lalu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata pemecatan Hamzah diputuskan Lembaga Disiplin seiring Fasal 22.5 perlembagaan parti tersebut selepas Hamzah dilaporkan tidak hadir selepas dipanggil ke prosiding bersama Lembaga Disiplin parti itu dijadual berlangsung di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya.
Sebelum ini, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang didakwa terbabit dalam gerakan mengumpul akuan bersumpah (SD) bagi mengambil alih dan menukar kepimpinan Bersatu ketika ini.
Sementara itu, ketika ditanyakan keperluan jawatan Ketua Pembangkang Parlimen, Ahli Parlimen Tambun tersebut enggan memberi komen sebelum terus menaiki kenderaan untuk ke program seterusnya di Pontian. – UTUSAN










