KUALA LUMPUR: Empat individu disyaki terlibat dalam sabotaj akaun Facebook Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempunyai kaitan dengan bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Harris Idaham Rashid berkata, individu tersebut ialah Pegawai Khas kepada Hamzah, Ahmad Ikhwan Fadhli dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal iaitu Meor Naqiuddin Shamsudin, Fairus Amri Ibn Suaid dan Ahmad Syafiq Adham.
“Keempat-empat individu tersebut dilaporkan mempunyai akses penuh termasuk kandungan, mesej dan keupayaan untuk memadam halaman.
“Dalam hampir 15 jam itu sebanyak 21 hantaran telah dibuat oleh salah seorang pentadbir. Hantaran tersebut jelas menonjolkan secara positif terhadap Hamzah dan sebaliknya serangan terhadap Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Tanpa mendedahkan cara, keempat-empat pentadbir akaun yang terlibat ketika tempoh sabotaj tersebut telah berjaya dikeluarkan daripada sebarang akses pada 12.41 pagi tadi. Pengurusan akaun tersebut sudah kembali ke pegawai-pegawai Bersatu,” katanya dalam kenyataan.
Kelmarin, sejurus pemecatan Hamzah, akaun rasmi Facebook Bersatu menyerang Muhyiddin dan mendedahkan isu dalaman yang mencetuskan kemelut politik Bersatu.
Hantaran itu antaranya mendakwa Muhyiddin gagal menangani masalah dalaman parti dan mempengaruhi keputusan Lembaga Disiplin Bersatu, selain menimbulkan spekulasi bahawa beberapa Ahli Parlimen menyokong pengunduran beliau sebagai presiden.
Semalam, Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan laman Facebook rasmi parti telah diceroboh dan memuat naik kandungan tanpa kebenaran kepimpinan.
Beliau menekankan hantaran berkenaan tidak mewakili pendirian rasmi parti dan dilakukan tanpa kebenaran, serta boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli dan masyarakat umum.
Susulan kejadian, laporan rasmi telah dibuat kepada pihak Facebook (Meta) bagi memulihkan akses halaman rasmi parti, selain aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan laporan polis untuk siasatan jenayah.
Tun Faisal berkata, tindakan itu dipercayai melibatkan kesalahan jenayah mengikut beberapa peruntukan undang-undang, antaranya Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta Seksyen 233 akta sama berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. – UTUSAN










