Balai berlepas LTSIP beroperasi di terminal baharu hari ini - Utusan Malaysia

Balai berlepas LTSIP beroperasi di terminal baharu hari ini

BALAI berlepas Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan mula beroperasi di terminal baharu bermula hari ini.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Balai berlepas Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa, mula beroperasi di terminal baharu bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr. Izani Husin berkata, semua urusan melibatkan pelepasan penerbangan perlu melalui tingkat atas.

“Pemandu kereta atau kenderaan perlu melalui jejambat untuk menurunkan penumpang di tingkat atas.

“Tingkat bawah pula hanya melibatkan ketibaan penumpang sahaja,” katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman sosial Facebook.

Dr. Izani berkata, kesemua kemudahan bermula dari parkir hingga ke bangunan terminal utama sudah boleh digunakan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan LTSIP Pengkalan Chepa dijangka beroperasi sepenuhnya pada 5 Mac depan sebaik sahaja pembinaan fasa dua siap.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Saizol Ismail berkata, maklumat itu diperoleh hasil lawatan yang dilakukan pihaknya pada minggu lalu.

Katanya, mengikut perancangan asal, operasi penuh sudah boleh berjalan minggu lalu, namun terpaksa ditangguhkan akibat masalah teknikal membabitkan sistem penghantar bagasi (konveyor) pada peringkat kerja akhir.

Terdahulu, pada 1 Mei 2024, wajah baharu LTSIP Pengkalan Chepa yang beroperasi secara rasmi pada hari berkenaan membuatkan pengguna pengangkutan udara itu terpukau dengan kemudahan yang disediakan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata pengguna begitu teruja sehingga ada dalam kalangan mereka merakam video dan mengambil gambar sebagai kenangan.

Selepas itu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengumumkan Kerajaan Persekutuan akan menjadikan LTSIP Pengkalan Chepa sebagai lapangan terbang antarabangsa tidak lama lagi.

Beliau berkata, langkah itu akan dilaksanakan menerusi pertambahan panjang landasan sejauh 400 meter, sekali gus membolehkan LTSIP beroperasi sebagai lapangan terbang antarabangsa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN