Anggota Kongres AS bantah 'perang haram' terhadap Iran

Anggota Kongres AS bantah ‘perang haram’ terhadap Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Beberapa anggota Kongres Amerika Syarikat (AS) menyuarakan bantah terhadap serangan Washington dan Israel ke atas Iran, sehingga mencetuskan konflik lebih meluas di rantau itu.

Mereka menuntut undian segera di Kongres untuk menghentikan tindakan dianggap sebagai perang haram yang dilancarkan tanpa kebenaran sewajarnya.

Ahli Kongres California, Ro Khanna, menyifatkan serangan itu sebagai perang rejim yang tidak sah di Iran dan turut mengancam nyawa rakyat AS.

Justeru, beliau menggesa Kongres bersidang pada Isnin untuk mengundi Resolusi Kuasa Perang yang diperkenalkannya bersama wakil Republikan, Thomas Massie.

Menurut Khanna, resolusi itu akan memaksa Presiden Donald Trump mendapatkan kebenaran Kongres sebelum menggunakan kekuatan tentera terhadap Iran.

“Setiap anggota Kongres perlu menyatakan pendirian hujung minggu ini mengenai bagaimana mereka akan mengundi,” katanya.

Massie pula berkata, beliau menentang perang tersebut dan memaklumkan rancangan untuk memaksa undian dijalankan sebaik sahaja Kongres kembali bersidang.

Senator Virginia, Tim Kaine, yang memperkenalkan Resolusi Kuasa Perang di Senat AS, menuntut dewan itu kembali bersidang dengan segera.

Senator New Jersey, Andy Kim, menyokong gesaan berkenaan dan memberi amaran Trump ‘memulakan kitaran keganasan yang sudah meningkat dan berisiko menjadi luar kawalan’.

Ahli Kongres Massachusetts, Jake Auchincloss, menyifatkan serangan itu sebagai ‘perang pilihan tanpa kebenaran Kongres’ dan memaklumkan beliau akan mengundi menyokong resolusi berkenaan bagi menamatkan permusuhan dengan Iran kecuali presiden mendapatkan kelulusan rasmi Kongres.

Wakil New York, Nydia Velazquez, pula berkata ‘serangan haram’ itu akan mengheret AS ke dalam satu lagi konflik berpanjangan dan menggesa resolusi diluluskan.

Beberapa anggota Kongres turut menyalahkan pembatalan perjanjian diplomatik terdahulu sebagai punca krisis semasa.

Senator Massachusetts, Ed Markey, berkata AS sebelum ini mempunyai perjanjian yang mengehadkan program nuklear Iran, namun ia ditamatkan oleh Trump.

“Inilah harga janji yang dimungkiri. Tiada perang dengan Iran,” katanya.

Senator Arizona, Ruben Gallego, yang pernah kehilangan rakan dalam perang Iraq, memberi amaran golongan muda kelas pekerja tidak seharusnya membayar harga tertinggi demi perubahan rejim, sambil menegaskan AS boleh menyokong rakyat Iran tanpa menghantar tenteranya berperang.

Wakil Texas, Greg Casar, pula berkata AS berisiko kehilangan nyawa, membelanjakan berbilion dolar dan terperangkap dalam ketidakstabilan berdekad lamanya.

Gesaan itu susulan pengumuman Wakil New York, Gregory Meeks, pada Khamis mengenai rancangan memaksa undian ke atas resolusi dwipartisan yang mewajibkan kelulusan Kongres sebelum sebarang serangan ketenteraan terhadap Iran dilancarkan.

Resolusi yang dibawa bersama oleh Khanna dan Massie itu akan memaksa presiden mendapatkan kebenaran Kongres sebelum menggunakan kekuatan tentera terhadap Iran.- ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN