LONDON: Kerajaan Britain sedang mempertimbangkan cadangan undang-undang untuk menyingkirkan adik Raja Charles III, Andrew Mountbatten-Windsor daripada pewaris takhta diraja.
Menteri Pertahanan, Luke Pollard memberitahu BBC, langkah itu, yang akan menghalang Andrew daripada menjadi Raja, adalah perkara wajar untuk dilakukan, tanpa mengira hasil siasatan polis.
Pada masa ini, Andrew kekal sebagai individu kelapan dalam barisan pewaris takhta walaupun dilucutkan gelarannya termasuk ‘putera’ pada Oktober tahun lalu, berikutan kontroversi hubungannya dengan pesalah seks, Jeffrey Epstein.
Khamis lalu, Andrew dibebaskan di bawah siasatan 11 jam selepas penangkapannya kerana disyaki melakukan salah laku dalam jawatan awam. Beliau secara konsisten dan tegas menafikan sebarang salah laku.
Dalam satu temubual di program Any Question Radio 4 BBC, Pollard mengesahkan kerajaan kini bekerjasama dengan Istana Buckingham mengenai rancangan untuk menghalang bekas putera itu daripada berpotensi berada di kedudukan yang hampir dengan takhta.
Beliau berharap langkah itu akan mendapat sokongan merentas parti, tetapi ia wajar hanya dilakukan selepas siasatan polis selesai.
Cadangan kerajaan itu dibuat selepas beberapa ahli Parlimen, termasuk Demokrat Liberal dan SNP, memberi isyarat sokongan terhadap undang-undang berkenaan.
Beberapa ahli Parlimen Parti Buruh yang mengkritik monarki memberitahu BBC, mereka kurang yakin langkah itu diperlukan, sebahagiannya kerana bekas Duke of York itu tidak mungkin akan menaiki takhta.
Oktober lalu, Downing Street berkata, ia tiada rancangan untuk memperkenalkan undang-undang bagi menukar garis pewarisan diraja.
Langkah itu memerlukan akta Parlimen yang perlu diluluskan oleh anggotanya dan berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Raja Charles.
Ia juga perlu disokong 14 negara Komanwel, di mana Raja Charles merupakan ketua negara, termasuk Kanada, Australia, Jamaica dan New Zealand.
Kali terakhir garis keturunan diubah oleh akta Parlimen adalah pada 2013, apabila Akta Pewarisan Mahkota memulihkan individu yang sebelum ini dikecualikan kerana berkahwin dengan penganut Katolik.










