Pas, PN teliti kerjasama ‘rumah baharu’ Hamzah - Utusan Malaysia

Pas, PN teliti kerjasama ‘rumah baharu’ Hamzah

PN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada Pas dan Perikatan Nasional (PN) akan bekerjasama dengan ‘rumah baharu’ Datuk Seri Hamzah Zainudin hanya akan diputuskan pada masa sesuai.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu masih belum dimuktamadkan, namun akan diteliti bila sampai masanya.

“Perkara ini akan dilihat bila tiba masa sesuai nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Hamzah berserta 16 ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menyertai parti politik lain atau ‘rumah baharu’.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hassan berkata, selain wakil rakyat terlibat, platform politik baharu itu bakal disertai ketua-ketua bahagian yang sudah menyatakan sokongan terhadap Ahli Parlimen Larut itu.

Dalam pada itu, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, isu sama ada PN bekerjasama dengan Hamzah dan kemnya perlu diputuskan dalam mesyuarat.

“Perkara ini tidak boleh mengambil kira pendapat individu, ia perlu dibincangkan dalam mesyuarat dan mengambil keputusan secara menyeluruh,” katanya.

Pada 13 Februari lalu, Bersatu memecat 17 ahlinya membabitkan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) termasuk empat ahli Parlimen dan dua ahli dewan undangan negeri (ADUN).

Selain Hamzah dan Azahari, turut dipecat ialah Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.

ADUN yang dipecat ialah ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; ADUN Bemban, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub dan Ketua Bersatu Bahagian Libaran, Yunus Nurdin.

Turut dipecat Kamaruddin Majid (Teluk Intan), Ahmad Ishak (Gopeng); Mohd Hassundi Hamzah (Larut), Mhod. Yunus Mhd. Yusop (Tapah), Ahmad Nasir Mid (Selayang), Datuk Zulkifli Bujang (Johor Bahru), Ramlan Meon (Tangga Batu) dan Datuk Abdul Aziz Ismail (Dungun). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN