62 institusi TVET terima pengiktirafan 5 bintang, perkasa sektor kemahiran

62 institusi TVET terima pengiktirafan 5 bintang, perkasa sektor kemahiran

R. RAMANAN (tengah) menerima plak selepas melancarkan Malaysia TVET Rating pada Majlis Anugerah Institusi TVET 5 Bintang di ibu negara, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 62 institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melibatkan 155 program menerima Anugerah 5 Bintang bagi sesi penarafan tahun 2025 membuktikan tahap kecemerlangan dan kualiti latihan kemahiran negara yang semakin kukuh.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), iaitu dari tahun 2023 hingga 2025, sebanyak 1,720 program daripada 597 institusi TVET telah dinilai.

Malah, sebanyak 96 peratus daripadanya telah mencapai status Program Berkesan, jauh mengatasi sasaran nasional sebanyak 70 peratus yang telah ditetapkan.

Menurutnya, sebagai usaha dalam memperkukuhkan insititusi ini, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) telah memperkenalkan pelan hala tuju baharu dikenali sebagai (R)EVOLUSI TVET 2026-2030 bagi melonjakkan TVET Malaysia ke tahap global.

“Sebagai langkah awal di bawah pelan tersebut, kerajaan akan memperkenalkan Malaysia TVET Rating iaitu sistem penarafan bersepadu dan komprehensif bertaraf antarabangsa yang menghimpunkan semua piawaian sedia ada di bawah satu kerangka nasional.

“Sistem itu akan berfungsi sebagai meter kebangsaan prestasi TVET selain meningkatkan ketelusan, akauntabiliti serta standard institusi latihan kemahiran di negara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Institusi TVET 5 Bintang di ibu negara, semalam.

Ramanan berkata, majlis penganugerahan institusi TVET itu mencerminkan pernyataan dasar serta isyarat transformasi jelas kerajaan dalam memartabatkan pendidikan kemahiran sebagai laluan utama kerjaya masa depan.

Katanya, TVET kini bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya menjadi teras utama strategi pembangunan modal insan serta daya saing ekonomi negara.

“Persepsi bahawa TVET adalah pilihan alternatif perlu diubah kerana graduan bidang tersebut terbukti mempunyai kebolehpasaran kerja yang tinggi dan mampu memasuki pasaran pekerjaan dengan lebih pantas berbanding sesetengah graduan lain.

“Kerajaan menegaskan reformasi tidak boleh bersifat kosmetik. Ia mesti menyentuh akar dan TVET adalah antara akar terpenting dalam membina ekonomi yang adil, mampan dan berdaya saing,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, industri TVET telah membuktikan kecermelangan bukan sekadar slogan tetapi dapat diukur dan dinilai secara objektif melalui sistem penarafan yang telus.

Beliau berkata, landskap TVET negara yang sebelum ini bersifat pelbagai dan berpecah kini diselaraskan menerusi Penarafan Tunggal Program TVET sebagai standard nasional yang telus dan konsisten.

“Langkah itu memastikan setiap pelaburan kerajaan serta industri dalam sektor TVET memberi pulangan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan juga akan melaksanakan Penarafan Institusi TVET serta Indeks Prestasi TVET Nasional yang bakal menilai keseluruhan ekosistem TVET secara menyeluruh, berasaskan data dan setara dengan amalan terbaik antarabangsa.

“Langkah tersebut diyakini mampu memperkukuh kedudukan TVET sebagai pemacu utama pembangunan modal insan negara sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan berdaya saing di peringkat global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN