PETALING JAYA: Seramai 14,858 pemastautin dari lebih 100 negara dikesan tidak mengemukakan laporan cukai borang nyata cukai pendapatan (BNCP) membabitkan baki akaun kewangan luar negara melebih RM10 bilion.
Perkara itu dikesan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hasil kerjasama pertukaran maklumat akaun kewangan antarabangsa dengan lebih 100 buah negara.
Pakar percaya, ia mampu memberikan hasil ratusan juta ringgit kepada kerajaan melalui kutipan cukai.
Menurut LHDN, pengesanan itu sejajar dengan usaha memperkukuh pematuhan cukai serta menangani isu pelarian cukai rentas sempadan.
Katanya, akaun dengan baki wang yang signifikan itu turut melibatkan negara seperti Luxembourg, Hong Kong, Guernsey, Cayman Islands, Bahamas dan Bermuda.
“LHDN telah menghantar peringatan kepada pemastautin cukai berkenaan sebagai pendekatan galakan pematuhan secara sukarela, di samping memberi ruang untuk membuat semakan dan pengisytiharan pendapatan sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
LHDN turut menasihatkan pemastautin yang mempunyai pendapatan belum dilapor dan mempunyai akaun kewangan luar negara daripada sumber pendapatan bercukai, tampil secara sukarela dalam tempoh terdekat bagi membuat pelaporan serta pematuhan sewajarnya.
Katanya, tindakan itu bagi mengelakkan mereka dikenakan penalti serta tindakan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.
“LHDN komited untuk terus mentadbir sistem percukaian negara secara telus, berintegriti dan profesional, selaras dengan piawaian percukaian antarabangsa.
“Dengan pendekatan berstrategi dan kerjasama semua pihak, LHDN akan terus memperkukuh tadbir urus percukaian negara demi kepentingan rakyat dan pembangunan negara,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, cukai adalah sumber utama pendapatan negara apabila kira-kira 95 peratus hasil negara datang daripada cukai sama ada langsung atau tidak langsung.
Katanya, sekiranya sesuatu cukai itu tidak dilaporkan maka kerajaan gagal mendapatkan pendapatan tambahan bagi melaksanakan pelbagai jenis pembangunan yang sudah dirancang.
“Berdasarkan kenyataan LHDN, jumlah keseluruhan baki akaun kewangan luar negara yang tidak dilaporkan melebihi RM10 billion. Saya jangka ia membabitkan kutipan cukai mencecah ratusan juta ringgit.
“Kegagalan mengutip cukai tersebut menyebabkan kerajaan tak dapat memanfaatkan kutipan untuk membiayai subsidi, menaik taraf kemudahan awam seperti hospital, sekolah, jalan raya dan sebagainya.
“Pada masa sama, kerajaan hilang pendapatan tambahan yang boleh memberi kesan walaupun minimum kepada pembangunan sosioekonomi,” katanya.
Beliau berkata, tindakan tidak melaporkan cukai tersebut adalah tidak adil kerana golongan tersebut menggunakan pelbagai kemudahan disediakan seperti prasarana dan sebagainya di negara ini walaupun tidak sebaik dinikmati warga negara tempatan.
Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai pula berkata, ketidakpatuhan cukai memberi kesan makro kepada negara apabila menyebabkan kekurangan dana awam untuk sektor pendidikan, kesihatan dan bantuan sosial.
“Ia juga mewujudkan ketidakadilan fiskal antara pekerja bergaji yang patuh kepada potongan cukai berjadual dengan individu dalam ekonomi bayangan yang terlepas daripada sistem percukaian.
“Ketidakpatuhan berterusan turut meningkatkan tekanan terhadap kedudukan fiskal negara dan memaksa kerajaan menambah hutang bagi menampung defisit belanjawan,” katanya.
Barjoyai berkata, penguatkuasaan pematuhan melalui pendekatan digital seperti e-Invois, MyTax dan padanan data berasaskan risiko berupaya meningkatkan kecekapan kutipan cukai tanpa kos penguatkuasaan yang tinggi.
“Masalah utama percukaian negara bukan terletak pada kadar cukai, sebaliknya kebocoran pematuhan yang masih ketara dalam kalangan individu berpendapatan pelbagai sumber dan ekonomi bayangan,” katanya. – UTUSAN










