WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, terus ‘menghasut’ rakyat Iran supaya meneruskan protes ketika beliau mendakwa ‘bantuan sedang dalam perjalanan’, tanpa memperincikan bentuk sokongan itu.
“Wahai patriot Iran, TERUSKAN PROTES, AMBIL ALIH INSTITUSI ANDA!!! BANTUAN SEDANG DALAM PERJALANAN,” kata Trump dalam satu hantaran di Truth Social.
Beliau turut menambah bahawa semua pertemuan dengan pegawai Iran dibatalkan sehingga pembunuhan tidak masuk akal terhadap penunjuk perasaan dihentikan.
Apabila ditanya maksud kenyataannya, Trump memberitahu wartawan bahawa mereka perlu menafsirkannya sendiri.
Trump juga tidak menghadiri satu taklimat rutin mesyuarat keselamatan negara mengenai Iran pada Selasa, menurut jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt.
Ketegangan di Iran yang dicetuskan keadaan ekonomi yang semakin teruk, menjadi cabaran dalaman terbesar kepada pemerintah negara itu sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga tahun dan berlaku ketika tekanan antarabangsa terus meningkat susulan serangan Israel dan AS tahun lalu.
Susulan hantaran Trump itu, ketua keselamatan Iran, Ali Larijani, berkata di platform media sosial X bahawa Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, adalah ‘pembunuh utama’ rakyat Iran.
Seorang pegawai Iran mendakwa, kira-kira 2,000 orang terkorban dalam protes berkenaan, kali pertama pihak berkuasa mendedahkan angka keseluruhan korban sejak lebih dua minggu kegelisahan di seluruh negara.
Kumpulan hak asasi berpangkalan di AS, HRANA pula memaklumkan bahawa daripada 2,003 kematian yang disahkan, 1,850 adalah penunjuk perasaan.
Kumpulan itu berkata, seramai 16,784 individu ditahan, meningkat ketara berbanding angka yang diumumkan pada Selasa.
Pada malam Selasa, Trump mengumumkan tarif import sebanyak 25 peratus ke atas produk dari mana-mana negara yang menjalankan perniagaan dengan Iran yang merupakan pengeksport minyak utama.
Trump turut menyatakan bahawa tindakan ketenteraan tambahan antara pilihan yang sedang dipertimbangkan bagi menghukum Iran berhubung tindakan keras terhadap protes tersebut. -AGENSI










