BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan cuba mencari jalan untuk mempertahankan harga minyak RON95 pada kadar RM1.99 seliter.
Perdana Menteri berkata, hal ini disebabkan oleh kenaikan harga minyak sehingga dua kali ganda gara-gara sekatan yang dibuat terhadap kapal-kapal besar yang mengangkut minyak dan gas di Selat Hormuz.
“Saya akan pertahankan RM1.99 seliter (harga minyak RON95) ini. Doalah mudah-mudahan boleh kita pertahankan walaupun tak tahu berapa lama,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Masjid Mengkuang Titi di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar menasihatkan semua pihak khususnya rakyat agar menguruskan perbelanjaan mereka dengan lebih berhemat susulan konflik yang melanda Asia Barat ketika ini khususnya perang antara Iran dan Amerika Syarikat (AS).
Anwar berkata, beliau memahami keselesaan yang dinikmati Malaysia pada ketika ini namun dalam keadaan situasi antarabangsa yang tidak menentu ketika ini, kerajaan bertanggungjawab untuk mengingatkan rakyat bahawa keadaan boleh berubah dalam sekelip mata.
“Sekiranya kita (rakyat) masih berada pada tahap terlalu selesa dan tidak mengendahkan soal kewangan maka dibimbangi kerajaan tidak akan mampu untuk menguruskan kegawatan ekonomi yang mungkin berlaku kelak.
“Hal ini bukan berlaku untuk satu negara, malah berpuluh negara terlibat. Dalam peperangan pun, puluhan negara juga (terlibat) dan kesannya, harga barang meningkat tinggi.
“Jadi, sementara keadaan sekarang yang masih terkawal, saya bertanggungjawab untuk mengingatkan semua supaya berjimat cermat.
“Jangan boros tak tentu arah kerana kita belum dapat jangka keadaan ekonomi berapa lama boleh bertahan. Oleh itu, pandai-pandailah uruskan ekonomi,” katanya.-UTUSAN










