KANGAR: Rakyat Perlis tidak perlu lagi menempuh perjalanan jauh bagi menikmati hidangan Korea apabila jenama popular, Seoul Garden sudah mula beroperasi di negeri ini.
Seoul Garden pertama di Perlis yang beroperasi Kangar Jaya di sini sudah mula dibuka kepada orang ramai sejak 23 November lalu dan mendapat sambutan cukup luar biasa.
Lebih menarik, restoran grill dan steamboat buffet terkenal itu turut menyajikan 116 hidangan merangkumi 11 kategori sekali gus memberi lebih pilihan kepada para pelanggan.
Pengarah Francais Kumpulan Seoul Garden, Wan Khairul Annuar berkata, outlet pertama Seoul Garden di Perlis yang mula beroperasi pertengahan November lalu mendapat sambutan luar biasa.
Katanya, kelaziman outlet di Seoul Garden adalah di dalam kompleks membeli belah namun keistimewaan di Perlis ia dibuka di lot bangunan berhampiran Kangar Jaya Mall di sini.
“Kita beroperasi dari pukul 11.30 pagi sehingga 11 malam dan pada hari minggu atau cuti umum dilanjut sehingga 12 tengah malam. Kita juga akan mengadakan majlis pelancaran Seoul Garden Perlis pada 20 Januari ini.
“Seoul Garden di Perlis mempunyai 16 kakitangan yang terdiri daripada anak tempatan sekali gus kita turut membantu membuka peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini. Seoul Garden mempunyai outlet di semua negeri sebelum ini dan Perlis menjadi negeri terbaharu dan pertama.
“Pada hari pertama pembukaan, begitu ramai pelanggan dan ia terus konsisten di mana orang Perlis selepas ini tidak perlu lagi pergi jauh untuk menikmati hidangan di Seoul Garden.
“Kita juga melihat potensi di Perlis yang juga bersempadanan dengan Thailand. Apabila mula dibuka, sambutan diterima begitu baik dengan pukul 11 pagi, pelanggan sudah ramai,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Pemasaran Seoul Garden Malaysia, Teng Wei Liek berkata, pembukaan Seoul Garden di Perlis menyaksikan jenama berkenaan kini sudah beroperasi di seluruh negara.-UTUSAN










