BANGI: Status tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Perlis kekal gugur walaupun mereka diterima masuk semula sebagai ahli parti.
Pesuruhjaya Pas Perlis, Ahmad Ali berkata, status ketiga-tiga bekas ADUN itu iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd. Ridzuan Hashim (Guar Sanji), kekal gugur memandangkan mereka terikat dengan Akta Lompat Parti.
“Walaupun (rayuan) keahlian mereka diterima semula selepas ini, status mereka sebagai ADUN Pas kekal gugur. Ia selaras dengan Perlembagaan parti yang terkait dengan Akta Lompat Parti.
“Jika melakukan apa-apa kesalahan, maka akan tergugur dengan sendiri keahliannya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri permukiman PAS di sini, hari ini.
Terdahulu, Majlis Syura Ulama mengesahkan sudah menerima rayuan tiga ADUN Perlis untuk menyertai semula parti itu namun ia akan dibawa ke peringkat Pas Pusat untuk dipertimbangkan.
Pada 24 Disember lalu, Pas melucutkan serta-merta keahlian tiga ADUN berkenaan susulan tindakan mereka bersama lima ADUN Bersatu menghantar akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis kerana sudah hilang kepercayaan terhadap bekas Menteri Besar iaitu Mohd. Shukri Ramli.
Ahmad berkata, beliau yakin permohonan ketiga-tiga bekas ADUN itu untuk menyertai semula parti akan disambut baik Pas Pusat.
“Sebelum ini, saya juga ada jumpa tiga ADUN berkenaan dan sudah memberi nasihat dan teguran (supaya tidak mengulangi kesilapan),” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad menafikan dakwaan kononnya berlaku pertembungan antara pimpinan Majlis Syura Ulama yang dipimpin Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin dan Pas Pusat di bawah pimpinan Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang susulan kemelut di Perlis.
“Perkara itu tidak betul dan tidak berbangkit, tiada sebarang pertembungan,” katanya. – UTUSAN










