Tiada bahan pembelajaran masuk ke Gaza sejak 2023

Tiada bahan pembelajaran masuk ke Gaza sejak 2023

PELAJAR Palestin mengikuti sesi pembelajaran di sekolah sementara yang ditubuhkan Persatuan Kebudayaan Mayasem, disokong UNICEF, di kem pelarian al-Qarara, Khan Younis, selatan Gaza. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Kanak-kanak Gaza berisiko menjadi mangsa penembak tepat Israel apabila mereka terpaksa menghadiri sekolah sementara yang dibina dengan khemah di kawasan berbahaya, selepas perang berterusan memusnahkan sebahagian besar infrastruktur di wilayah itu.

Keluarga di Gaza membina ‘sekolah khemah’ yang terletak berhampiran dengan tentera Israel, di kawasan yang ditetapkan sebagai zon kuning di sebelah barat garisan pemisah, hanya beberapa meter dari bahaya.

Rata-rata ibu bapa di wilayah itu bimbang untuk membiarkan anak mereka berjalan sendiri ke sekolah khemah, melalui runtuhan dan kawasan terbuka di Beit Lahiya.

“Apabila saya pergi ke sekolah, saya bimbang dengan tembakan. Saya tidak dapat mencari dinding untuk berlindung supaya peluru berpandu atau peluru sesat mengenai kami,” kata seorang kanak-kanak, Tulin.

Di khemah pula tiada perlindungan, dengan dinding kanvas tidak mampu menghentikan peluru, namun murid tetap duduk di atas tanah dan meneruskan sesi pembelajaran.

Guru di Gaza menggambarkan rutin harian yang mengerikan, di mana sesi pembelajaran sering terganggu oleh bunyi tembakan penembak tepat.

Situasi di Beit Lahiya menggambarkan kemerosotan lebih meluas dalam sistem pendidikan di Gaza.

Jurucakap Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di Palestin, Kazem Abu Khalaf menyifatkan keadaan itu sebagai antara bencana terbesar.

“Data kami menunjukkan 98 peratus daripada semua sekolah di Gaza mengalami pelbagai tahap kerosakan, termasuk kemusnahan menyeluruh,” katanya.

Kira-kira 638,999 kanak-kanak layak bersekolah dan 70,000 murid tadika kehilangan dua tahun akademik dan kini memasuki tahun ketiga tanpa akses pendidikan.

Pada masa sama, Kazem mengesahkan sejak perang bermula pada Oktober 2023, hampir tiada bahan pembelajaran dibenarkan masuk ke Gaza.

“Cabaran terbesar sebenarnya ialah hampir tiada bahan pembelajaran yang masuk ke Gaza,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN