PORT DICKSON: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 16.6 Lebuhraya Seremban–Port Dickson (SPDH) arah Seremban, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, kemalangan kira-kira pukul 6.54 petang itu melibatkan sebuah lori pasukan respons PLUS, sebuah kenderaan pacuan empat roda rondaan PLUS dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).
Menurutnya, siasatan awal mendapati sebelum kejadian, lori dan kenderaan pacuan empat roda rondaan PLUS itu berhenti di lorong kecemasan bagi membantu sebuah kenderaan lain yang terbabas di tebing jalan.
“Ketika kejadian, keadaan cuaca hujan lebat, permukaan jalan basah dan kawasan tersebut gelap tanpa lampu jalan. Sebuah kenderaan SUV yang datang dari arah sama dipercayai hilang kawalan ketika bergerak di lorong kanan sebelum terbabas lalu melanggar bahagian belakang lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Maslan berkata, akibat pelanggaran itu, lori berkenaan bergerak ke hadapan lalu melanggar bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda rondaan PLUS.
Bagaimanapun, seorang kanak-kanak perempuan yang merupakan penumpang hadapan SUV berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital UCSI Port Dickson kira-kira pukul 8.10 malam tadi.
“Pemandu dan penumpang lain mengalami kecederaan dan telah menerima rawatan di Hospital Port Dickson serta Hospital UCSI,” katanya. – UTUSAN










