KANGAR: Kadar sewa lot niaga bazar Ramadan di Perlis ditetapkan pada kadar RM300 sebulan atau RM10 sehari, sekali gus merupakan antara paling rendah berbanding negeri-negeri lain.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth berkata, kadar rendah yang ditetapkan itu bagi membolehkan para peniaga tidak menaikkan harga makanan yang dapat memberi kesan kepada pengguna.
Katanya, pada masa ini, MPK dalam peringkat akhir membuat kemaskini jumlah keseluruhan bazar Ramadan di negeri ini yang bawah kelolaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
“Kadar sewa tapak RM300 sebulan atau RM10 sehari itu adalah paling murah pernah ditawarkan dan tidak ada alasan untuk para peniaga menaikkan harga jualan.
“Lot biasa kita tetapkan RM300 sebulan atau RM10 sehari manakala lot bagi air tebu, kelapa dan jus buah-buahan sahaja ditetapkan RM330 sebulan dan ia juga bergantung kepada keperluan pengurusan sampah di lokasi terbabit,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Affendi berkata, MPK turut menasihati entiti swasta yang ingin menganjurkan bazar Ramadan agar tidak meletakkan kadar sewaan tapak terlalu tinggi sehingga membebankan peniaga.
“Ini kerana apabila penganjur menaikkan sewa tapak, maka peniaga juga tiada pilihan dan terpaksa menaikkan harga makanan yang akhirnya membebankan pengguna,” katanya.
Katanya, MPK juga akan melakukan pemantauan bagi memastikan tiada sebarang kartel atau mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan meletakkan sewaan tapak bazar Ramadan dengan kadar terlalu tinggi.
Ujar beliau, PBT itu juga akan menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan tiada peniaga bazar Ramadan menaikkan harga makanan sesuka hati.
“Walaupun penganjur bazar Ramadan adalah entiti swasta, MPK akan sentiasa melakukan pemantauan malah tindakan boleh diambil ke atas permit perniagaan mereka sekiranya berlaku pelanggaran syarat ditetapkan,” katanya.-UTUSAN










