PETALING JAYA: Kebanyakan rakyat Malaysia yang berhibur di negara Thailand dikesan mengambil dadah jenis methamphetamine atau yang dipanggil syabu, ‘ais’, ‘sejuk’ dan ‘batu’ oleh penagih dadah.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, jumlah itu berdasarkan daripada 411 orang yang didapati positif dadah selepas pulang dari Thailand tahun lalu.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 135 individu dikenal pasti positif dadah methamphetamine; ketamin (108 orang), ganja (74 orang) dan benzodiazepine (59 orang).
“Selain itu, 28 orang dikenal pasti positif MDMA, opiat (lima orang) dan ketum (dua orang).
“Fenomena cuba-cuba ketika berhibur adalah isu yang sangat serius dan kritikal kerana ia mempunyai risiko yang sangat tingi untuk berkembang menjadi ketagihan kronik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Akhbar ini kelmarin melaporkan seramai 903 orang rakyat Malaysia telah dikesan positif dadah selepas pulang dari Thailand sejak tahun 2024 dengan majoriti daripada mereka merupakan dalam kalangan belia dan remaja.
Sementara itu, menurut Ruslin, fasa ‘cuba-cuba’ terhadap dadah oleh golongan belia ini mampu menyebabkan permulaan kepada ketagihan jangka panjang melalui beberapa proses.
Jelasnya, apabila seseorang mencuba dadah untuk berhibur, otak akan mengeluarkan dopamine secara berlebihan.
“Lama-lama badan membina toleransi di mana individu memerlukan dos yang lebih tinggi untuk merasai tahap kegembiraan yang sama.
“Ia juga menyebabkan perubahan struktur otak kerana penggunaan berulang walaupun hanya pada hujung minggu akan mula mengubah litar ganjaran dalam otak.
“Ini menyebabkan individu rasa ‘tidak normal’ atau murung jika tidak mengambil bahan tersebut di luar waktu berhibur,” katanya.-UTUSAN.










