LONDON: Sheffield sedang membangunkan projek arkib permainan video yang menghimpunkan sejarah puluhan mesin arked dari zaman awal industri tersebut bermula di United Kingdom (UK) untuk tatapan generasi akan datang.
Muzium Permainan Video Kebangsaan di bandar itu menempatkan projek Behind the Screens, inisiatif pertama bagi mewujudkan arkib kebangsaan reka bentuk permainan video yang bukan bukan sekadar menyimpan mesin permainan itu sendiri, tetapi juga merekod sejarah, proses penciptaan dan pengalaman sosial budaya yang berkait dengannya.
Antara tugas awal projek ini adalah menjalankan kaji selidik menyeluruh mengenai bahan-bahan permainan yang disimpan oleh studio pembangunan dan menemu bual pemain bagi mengumpul pengalaman mereka serta sumbangan yang dibawa kepada budaya di UK.
Selain mempamerkan puluhan mesin arked pelbagai versi, turut tersedia maklumat pembangun setiap permainan dan kandungan boleh dimuat turun yang tidak lagi tersedia kepada pengguna.
Pengurus Pembangunan muzium, John O’Shea berkata, projek tersebut melibatkan gabungan kerja teknikal dan digital.
“Apa yang kami lakukan adalah memeriksa setiap komponen dengan teliti dan memastikan permainan berfungsi dengan sebaik mungkin.
“Jika anda fikir tentang permainan seperti Space Invaders, ia merangkumi eletronik dan pengaturcaraan komputer, tetapi bahan-bahannya akan rosak dari masa ke masa, jadi jurutera kami menjaga aspek itu.
“Sekarang, permainan video sendiri adalah ruang sosial. Jika anda lihat Fortnite, anda menghabiskan banyak masa dalam ruang ini, bukan sekadar secara pasif, tetapi sebenarnya mencipta sesuatu. Justeru, kami mahu meraikan perkara itu sebagai pengalaman budaya yang kaya dan bernilai.”
Projek Behind the Screens menerima sokongan Dana Warisan Skrin daripada Institut Filem British (BFI).










