PETALING JAYA: Tiada sebarang lokasi yang benar-benar selamat untuk diadakan aktiviti ladang ternakan babi di Selangor.
Sebagai sebuah negeri yang berkepadatan tinggi, adalah sukar untuk negeri ini menyediakan zon penampan mencukupi untuk mengelakkan gangguan bau, pencemaran dan risiko kesihatan berpunca daripada ternakan itu.
Setiausaha Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Hafizudin Nasarudin berkata, penternakan babi membawa risiko pencemaran serius melalui sisa najis, bahan kimia, bangkai dan air basuhan kandang.
“Pencemaran tersebut boleh meresap ke sungai, tanah dan air bawah tanah sebelum menjejaskan sumber air utama penduduk.
“Pendedahan kepada bahan seperti ammonia dan fosforus bukan sahaja mengancam ekosistem malah memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam akhbar ini melaporkan kerajaan negeri Selangor akan mengadakan perbincangan lanjut di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengenai saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya projek ladang babi di Bukit Tagar dibatalkan.
Anwar pada Jumaat lalu menyarankan agar projek berkenaan dibatalkan susulan keresahan masyarakat pelbagai kaum.
Susulan itu, Perdana Menteri berkata, perbincangan juga akan diadakan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi menilai lokasi alternatif yang lebih sesuai dengan penggunaan teknologi moden.
Sementara itu, Hafizudin turut mempersoalkan kebergantungan kerajaan kepada laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang didakwa sering gagal dikuatkuasakan di lapangan.
Katanya, kos tinggi sistem rawatan sisa menyebabkan sebahagian pengusaha ini mengambil jalan pintas yang berisiko meningkatkan pencemaran.
Keadaan itu menimbulkan kebimbangan apabila pencemaran akhirnya memaksa kerajaan menggunakan wang rakyat untuk kerja pemulihan.
“Selagi tiada kawasan yang benar-benar jauh daripada sungai dan penempatan, projek ladang babi berskala besar tidak wajar diteruskan di Selangor,” katanya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia, Mohd. Yusaimi Md. Yusof pula berkata, isu ladang babi tidak boleh dilihat daripada sudut teknologi semata-mata kerana masalah sebenar terletak pada kelemahan pemantauan dan penguatkuasaan.
“Walaupun konsep ladang moden sering menjanjikan pelepasan sifar, realiti di lapangan menunjukkan risiko pencemaran tetap wujud apabila pengusaha gagal mematuhi prosedur operasi standard.
“Selangor yang mempunyai rangkaian sungai padat dan kawasan tadahan air strategik menjadikan sebarang kecuaian kecil berpotensi memberi kesan besar kepada bekalan air rakyat.
“Selagi aspek ketelusan, penguatkuasaan berterusan dan pemilihan lokasi tidak dijamin sepenuhnya, projek ladang babi berskala besar tidak wajar diteruskan di negeri ini,” katanya. – UTUSAN










