Sekatan minyak jadi alat tekanan AS terhadap Venezuela

Sekatan minyak jadi alat tekanan AS terhadap Venezuela

MARCO RUBIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan menggunakan sekatan dan ‘kuarantin’ ke atas eksport minyak sebagai alat tekanan utama untuk mempengaruhi hala tuju kepimpinan baharu Venezuela selepas Presiden Nicolas Maduro disingkirkan, kata Setiausaha Negara AS, Marco Rubio.

Rubio berkata, langkah itu penting ketika masih wujud persoalan mengenai cara AS akan berurusan dengan anggota kepimpinan era Maduro yang kekal berkuasa.

Menurutnya, Venezuela perlu memutuskan hubungan dengan Iran, Hezbollah dan Cuba, menghentikan aktiviti pengedaran dadah serta memastikan industri minyak negara itu tidak memberi manfaat kepada musuh AS.

“Terdapat satu kuarantin ketika ini terhadap penghantaran minyak yang dikenakan sekatan. Jika sebuah kapal berada di bawah sekatan AS, kami akan mendapatkan perintah mahkamah dan merampasnya,” kata Rubio dalam wawancara bersama program Face the Nation di CBS.

Beliau menegaskan tindakan itu memberikan alat tekanan yang besar kepada AS untuk mendesak perubahan di Venezuela.

Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini mencadangkan syarikat minyak AS berpotensi melaburkan berbilion dolar bagi membangunkan semula industri minyak Venezuela.

Kenyataan itu dibuat ketika beliau mendedahkan bahawa Maduro dan isterinya ditangkap dan dibawa ke AS pada 3 Januari untuk menghadapi pertuduhan di New York.

Rubio berkata, kekurangan bekalan minyak mentah berat di peringkat global boleh meningkatkan minat pelaburan antarabangsa ke Venezuela.

“Saya belum bercakap dengan syarikat minyak AS namun kami yakin akan wujud minat yang sangat besar daripada syarikat Barat.

“Syarikat bukan dari Russia dan China akan menunjukkan minat yang ketara. Loji penapisan minyak di Pantai Teluk AS pula merupakan yang terbaik untuk memproses minyak mentah berat,” katanya dalam rancangan This Week di ABC.

Beliau menegaskan, minat pelaburan itu hanya akan direalisasikan sekiranya peralihan politik di Venezuela dapat dilaksanakan dengan cara yang betul.

Bagaimanapun, Rubio tidak memberikan penjelasan terperinci mengenai langkah segera di negara itu selepas Trump berkata AS akan bekerjasama dengan presiden pemangku, Delcy Rodríguez, bagi membantu peralihan kepada kerajaan yang dipilih secara demokratik.

Rodríguez dan beberapa pemimpin Venezuela lain setakat ini masih belum menyatakan pendirian rasmi mereka. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN