Had Perdana Menteri tiga penggal lebih realistik

Had Perdana Menteri tiga penggal lebih realistik

MAHFUZ OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Cadangan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri setakat 10 tahun atau dua penggal seperti diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya dipertimbangkan sehingga 15 tahun atau tiga penggal.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, cadangan had dua penggal itu dilihat berprinsip dan berasas khususnya untuk mengelakkan budaya kuasa berpanjangan.

“Namun, saya berpandangan bahawa tempoh 15 tahun atau tiga penggal adalah lebih realistik dan seimbang, selagi ia disertai dengan pengukuhan dan kebebasan institusi negara secara menyeluruh.

“Negara memerlukan masa yang cukup untuk merangka, melaksanakan dan memantapkan dasar strategik seperti reformasi pendidikan, keselamatan makanan, peralihan tenaga dan pembangunan ekonomi jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahfuz yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, kebanyakan dasar nasional hanya menunjukkan hasil sebenar selepas satu dekad atau lebih.

“Had tempoh penting untuk elak kuasa berlebihan tetapi negara juga perlukan masa memimpin. Tanpa institusi yang bebas, tegas, cekap dan berintegriti, tempoh 10, 15 atau 20 tahun belum menjamin negara akan jadi baik,” katanya.

Beliau berkata, sejarah global menunjukkan had tempoh jawatan tidak menjamin sesuatu negara bebas rasuah, misalnya had Presiden Indonesia ditetapkan 10 tahun tetapi politik wang didakwa masih kuat, selain penguasaan oligarki ekonomi serta rakyat masih terbeban kos sara hidup.

“Filipina had satu penggal sahaja tetapi dinasti politik berleluasa, institusi dikawal elit dan ketidaksamaan ekonomi tinggi. Banyak negara lain di Amerika Latin dan Afrika menunjukkan fenomena sama had tempoh diikuti pemimpin baharu, tetapi institusi lemah dan rakyat masih menanggung beban,” katanya.

Mahfuz berkata, masalah sebenar bukan angka penggal tetapi siapa yang mengawal institusi dan mekanisme semak imbang kerana had tempoh hanyalah kosmetik demokrasi jika tanpa parlimen yang berfungsi, kebebasan badan kehakiman, profesionalisme penguat kuasa dan pembiayaan politik telus.

“Perbincangan had tempoh Perdana Menteri tidak boleh terpisah daripada agenda reformasi institusi. Soal utama bukan sekadar 10 atau 15 tahun, tetapi bagaimana memastikan kuasa sentiasa diawasi, dasar negara berterusan dan kepimpinan boleh diperbaharui melalui mandat rakyat,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN