Program Perlis Mendengar beri tumpuan keperluan rakyat di 15 DUN - Utusan Malaysia

Program Perlis Mendengar beri tumpuan keperluan rakyat di 15 DUN

ABU Bakar Hamzah (tiga dari kiri) dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kompleks Seri Putra, Kangar, Perlis, malam tadi. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri bakal melaksanakan Program Perlis Mendengar yang akan memberi tumpuan terhadap keperluan rakyat di 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis.

Majlis Perbandaran Kangar (MPK) akan berperanan sebagai sekretariat menguruskan program berkenaan.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, menerusi program tersebut, kerajan negeri mengambil inisiatif turun ke kawasan DUN bersama agensi-agensi kerajaan bagi bertemu rakyat dan melihat keperluan mereka.

Beliau berkata, melalui pendekatan ini, kerajaan negeri akan cuba memastikan semua perkhidmatan dan manfaat disediakan kerajaan dapat disalurkan kepada rakyat secara terus.

“Jika ada sebarang masalah, kita turut bawa bersama agensi-agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan banyak lagi bagi membantu rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Kompleks Seri Putra di sini malam tadi.

Abu Bakar berkata, mengikut perancangan, Program Perlis Mendengar dijangka dilaksanakan sebelum bulan Ramadan dengan kekerapan satu DUN dalam masa tiga minggu.

Katanya, lokasi pertama program tersebut akan dimulakan di DUN Beseri yang kemudian diikuti DUN-DUN lain selepas itu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri turut membuat penetapan bagi memberikan sumbangan kepada golongan memerlukan bersempena sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

Katanya, pelaksanaan inisiatif itu juga akan disusun oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Negeri, Datin Marzita Mansor untuk memudahkan penyaluran kepada rakyat.

“Sumbangan yang akan kita sampaikan mungkin berbentuk bakul makanan dan kewangan yang akan diputuskan selepas ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN