Politik perlu jadi medan penyatuan umat – Mufti

Politik perlu jadi medan penyatuan umat – Mufti

LAPORAN Utusan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Politik berupaya menjadi medan penyatuan umat Islam sekiranya digerakkan berasaskan nilai keadilan, kebajikan dan kemaslahatan umum.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, politik mampu menjadi jambatan penyatuan yang kukuh dalam kalangan umat Islam jika memfokuskan kepada pembelaan rakyat dan kesejahteraan sosial.

Katanya, agama Islam adalah amanah besar yang perlu dipelihara kesuciannya dan wajar dijadikan sumber nilai, etika serta panduan moral dalam kehidupan berpolitik dan bukan untuk mencetuskan perbalahan atau kebencian.

“Agama Islam diturunkan sebagai petunjuk dan rahmat kepada seluruh manusia. Ia membimbing kehidupan manusia bukan sahaja dalam soal ibadah bahkan juga dalam hubu­ngan sosial, kemasyarakatan dan kenegaraan.

“Dalam konteks ini, politik tidak terpisah daripada agama, namun cara agama difahami dan dizahirkan dalam wacana politik perlu sentiasa dipandu oleh hikmah, ilmu dan adab.

“Apabila fokus politik tertumpu kepada usaha membela rak­yat, menangani kemiskinan, memperkukuh pendidikan, menjaga keamanan dan memperkasakan nilai moral, ia berupaya menjadi jambatan penyatuan bukan punca perpecahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, umat Islam yang berpecah ke­rana perbezaan pendekatan politik perlu kembali bersatu.

Mengulas lanjut, Mohd. Sukki berkata, politik hendaklah diurus dengan kebijaksanaan, keterbukaan dan rasa tanggungjawab terhadap perpaduan masyarakat.

Katanya, perbezaan pandangan dalam urusan politik adalah sesuatu yang diiktiraf dalam Islam namun ia perlu diurus de­ngan sikap saling menghormati bagi memelihara ukhuwah.

“Dalam perkembangan politik semasa, timbul kebimba­ngan apabila agama dan sentimen keagamaan digunakan secara kurang berhati-hati sehingga mencetuskan kekeliruan dan perpecahan.

“Islam mengiktiraf perbezaan pandangan termasuk dalam perkara ijtihadi seperti urusan politik dan pentadbiran, namun perbezaan ini perlu diurus dengan sikap saling menghormati dan menjaga ukhuwah.

“Apabila agama dan politik diletakkan pada tempat yang seimbang dan beradab, insya-Allah umat Islam akan terus kekal bersatu, matang dalam berbeza pandangan dan mampu membina masyarakat yang harmoni ” katanya.

Katanya, perbezaan pilihan politik tidak semestinya menjejaskan akidah atau keislaman seseorang, sebaliknya ukhuw­wah Islamiyyah perlu terus dipelihara.

“Isu pilihan politik lazimnya berada dalam ruang ijtihad dan pertimbangan maslahat yang terbuka kepada pelbagai pandangan.

“Oleh itu, umat Islam diseru agar berhati-hati dalam mengaitkan perkara politik dengan penentuan iman, apatah lagi menyentuh soal syurga dan neraka kerana Islam mengajar umatnya agar mencari titik persamaan bukan membesarkan perbezaan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN