Pesakit demensia termuda meninggal dunia

Pesakit demensia termuda meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pesakit demensia termuda di Britain, yang memiliki otak seorang lelaki berumur 70 tahun, dilaporkan meninggal dunia pada usia 24 tahun.

Andre Yarham menerima diagnosis demensia awal selepas ahli keluarganya perasan pergerakan dan pertuturannya menjadi sangat perlahan.

Doktor mengesahkan Yarham menghidap demensia frontotemporal yang disebabkan oleh mutasi protein, hanya sebulan sebelum ulang tahunnya yang ke-23.

Demensia frontotemporal adalah varian yang jarang berlaku, menjejaskan kira-kira satu daripada 20 individu yang didiagnosis dengan demensia.

Yarham, dari Dereham, Norfolk, meninggal dunia pada 27 Disember lalu di sebuah kemudahan penjagaan kesihatan selepas diserang jangkitan.

Ibunya, Sam Fairbairn, 49, memutuskan untuk menderma otak Yarham untuk penyelidikan saintifik dalam usaha memerangi penyakit yang disifatkannya sebagai ‘kejam’.

“Kesedaran mengenai betapa kejamnya penyakit ini masih kurang. Terdapat pelbagai jenis demensia, simptom berbeza dan tingkah laku yang berbeza-beza.

“Kami membuat keputusan untuk menderma otak Yarham bagi tujuan penyelidikan, sekurang-kurangnya dapat memberi harapan kepada pesakit tersebut dan keluarga mereka,” katanya.

Fairbairn menjelaskan, anaknya mula menunjukkan tanda pelupa pada 2022 dan sering mempamerkan ekspresi kosong apabila diajak berbual.

Dia menerima berita mengejutkan itu daripada seorang pakar pada 2023, selepas ujian MRI menunjukkan otak anaknya berusia seperti 70 tahun dan menghidap demensia awal.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN