Perlis berpotensi terima pelaburan terbesar RM500 juta - Utusan Malaysia

Perlis berpotensi terima pelaburan terbesar RM500 juta

DELEGASI syarikat dari China melawat ke tapak PIP di Padang Besar, Perlis, bagi melihat potensi pelaburan yang dapat diteroka di negeri ini. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perlis berpotensi menerima pelaburan terbesar bernilai RM500 juta dari sebuah syarikat berpangkalan di China yang terlibat dalam pembuatan Battery Energy Storage System (BESS) berteknologi tinggi.

Dalam sesi lawatan dua hari ke Perlis baru-baru ini, delegasi dari syarikat Zonergy Corporation itu telah mengikuti program libat urus merangkumi taklimat teknikal bersama pihak berkepentingan utama dan sesi lawatan tapak di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dan Perlis Inland Port (PIP).

Lawatan tersebut bertujuan meneroka peluang pelaburan tenaga bersih dan pembangunan rantaian bekalan di negeri ini, termasuk kajian kebolehlaksanaan penubuhan kilang pembuatan BESS.

Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs), Datuk Md Silmi Abd Rahman berkata, sesi dijalankan itu turut melibatkan pihak berkepentingan seperti Bahagian Pembangunan Ekonomi Negeri (BPEN), Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Sesi tersebut mencerminkan kesediaan Perlis untuk menerima antara pelaburan yang terbesar pernah direkodkan dalam negeri ketika ini, sekali gus dapat menjana pekerjaan dan mengukuhkan asas industri negeri,” katanya di sini semalam.

Sebagai rekod, Zonergy merupakan sebuah syarikat peneraju tenaga dan khidmat smart microgrid berpangkalan di China yang berkemahiran dalam tenaga solar dan penyimpanan tenaga.

Syarikat tersebut juga merupakan salah sebuah pemain industri penting dalam teknologi natrium-ion (Na-ion) bagi penyimpanan tenaga kekal yang semakin mendapat perhatian bagi ketahanan grid dan integrasi tenaga boleh diperbaharui.

Silmi berkata, pembangunan yang dicadangkan itu bakal menggunakan pendekatan berfasa ke arah platform pemasangan dan pembuatan BESS berteknologi tinggi yang akan digunapakai secara berskala besar, industri, komersial serta perumahan.

“Tertakluk kepada skop akhir, kelulusan dan struktur pelaksanaan, inisiatif ini bakal membawa potensi pelaburan bernilai RM500 juta malah sebanyak 421 peluang pekerjaan juga dapat diwujudkan. Ini mencerminkan aspirasi jangka panjang untuk menubuhkan sebuah platform industri dan bukan sekadar sebuah fasiliti tunggal,” katanya.

Sementara itu, Presiden Zonergy Corporation, Xu Hongchan berkata, Perlis sememangnya menawarkan peluang menarik bagi pembangunan dan penerokaan industri tenaga bersih.

“Negeri ini menawarkan infrastruktur, lokasi strategik dan keselarasan pihak-pihak berkepentingan. Lawatan ini merupakan langkah penting untuk menilai bagaimana kami boleh menyumbang kepada peralihan tenaga Malaysia melalui pembuatan setempat dan perkongsian jangka panjang. Kami menghargai kemudahan dan kerjasama kukuh daripada kerajaan negeri melalui PKENPs,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN