ARAU: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) menyambut baik pengumuman peruntukan berjumlah RM15 juta bagi pelaksanaan Bank Makanan Dapur Siswa oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Unimap, Profesor Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, pengumuman itu merupakan satu langkah signifikan dalam memperkukuh kebajikan pelajar institusi pendidikan tinggi di seluruh negara.
Beliau berkata, inisiatif tersebut juga adalah pendekatan proaktif kerajaan dalam menangani cabaran kos sara hidup yang dihadapi mahasiswa pada masa kini.
“Pengumuman inisiatif Dapur Siswa KPT ini amat bertepatan pada masanya dan mencerminkan keprihatinan serius kerajaan terhadap kebajikan pelajar, khususnya dalam memastikan keperluan asas seperti makanan sentiasa terjamin,” katanya di sini, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin membuat beberapa pengumuman penting termasuk penyaluran peruntukan berjumlah RM15 juta bagi pelaksanaan Bank Makanan Dapur Siswa oleh KPT.
Mohd Mustafa berkata, Unimap juga sememangnya telah lebih awal melaksanakan inisiatif seperti itu menerusi pelaksanaan Food Kitchen Unimap seiring dengan aspirasi Dapur Siswa KPT dalam menyediakan bantuan makanan berterusan kepada pelajar memerlukan.
“Sehingga tahun 2025, Unimap telah berjaya melaksanakan agihan Food Kitchen Unimap di enam lokasi sekitar kawasan kampus dan kolej kediaman yang memberi manfaat kepada lebih 3,000 orang pelajar di mana usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan universiti menjaga kebajikan warga pelajarnya,”katanya.
Mohd Mustafa berkata, pada tahun lalu, Unimap juga telah memperuntukkan lebih RM1.2 juta bagi pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan dan kesihatan pelajar merangkumi bantuan makanan, sokongan kesihatan fizikal dan mental serta program pembangunan kesejahteraan pelajar secara holistik.
“Selain bantuan makanan asas, Unimap turut melaksanakan program Coffee to Go sempena minggu peperiksaan sebagai sokongan moral kepada pelajar khususnya dalam mengurus tekanan akademik dan kesejahteraan emosi.
“Program Coffee to Go ini memberi manfaat kepada lebih 6,000 pelajar malah ia bukan sekadar inisiatif kebajikan, tetapi simbol sokongan moral universiti kepada pelajar,” katanya.-UTUSAN










