Pengawal Revolusi dituduh tembak penunjuk perasaan Iran

Pengawal Revolusi dituduh tembak penunjuk perasaan Iran

PENUNJUK perasaan mengadakan protes di jalanan menentang keadaan ekonomi dan mata wang Iran di Teheran.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Pertempuran antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan meragut sekurang-kurangnya empat nyawa di barat Iran, dengan kumpulan hak asasi manusia menuduh Pengawal Revolusi melepaskan tembakan ke arah peserta demonstrasi.

Protes diteruskan di beberapa bandar seluruh negara kelmarin, hari ketujuh gerakan yang tercetus akibat kemarahan rakyat terhadap kenaikan kos sara hidup di republik Islam itu.

Menurut aktivis, siri protes itu merupakan yang paling besar di Iran sejak gerakan 2022-2023, yang ditumpaskan pihak berkuasa melalui tindakan keras sehingga mengorbankan ratusan nyawa dan menyaksikan ribuan individu ditahan.

Kumpulan hak asasi berpangkalan Norway, Hengaw, melaporkan Pengawal Revolusi menggunakan peluru hidup terhadap penunjuk perasaan di daerah Malekshahi, wilayah Ilam, mengakibatkan kematian empat anggota minoriti Kurdish.

Kumpulan itu berkata, ia sedang menyiasat laporan dua lagi individu terbunuh, manakala puluhan lagi cedera.

NGO Hak Asasi Manusia Iran, yang berpangkalan di Norway, berkata sekurang-kurangnya empat orang terbunuh, manakala 30 lagi cedera selepas pasukan keselamatan menyerang protes di Malekshahi.

Kumpulan tersebut menyiarkan rakaman menunjukkan mayat berlumuran darah di atas tanah. Bagaimanapun, rakaman dan jumlah mangsa itu tidak dapat disahkan segera.

Di Iran, media tempatan mengaitkan pertempuran itu dengan laporan agensi berita Mehr, mendakwa seorang anggota Pengawal Revolusi terbunuh selepas ‘perusuh’ cuba memasuki balai polis.

Sekurang-kurangnya 12 terbunuh sejak Rabu dalam pertempuran tersebut, termasuk anggota pasukan keselamatan.

Menurut Pemantau Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia, yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), sepanjang tujuh hari lepas, protes direkodkan di sekurang-kurangnya 174 lokasi dalam 60 bandar merangkumi 25 daripada 31 wilayah di Iran.

Dalam tempoh itu, sekurang-kurangnya 582 individu ditahan dan sekurang-kurangnya 15 penunjuk perasaan terbunuh.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN